Ahli Parlimen DAP tanya kenapa tak boleh rakam serbuan polis


Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng meminta peguam negara menjelaskan rasional di sebalik tindakan polis menahan individu merakam operasi yang dijalankan secara terang-terangan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari 2023.

PERBUATAN merakam serbuan polis di tempat awam tidak boleh dianggap sebagai mengganggu tugas pihak berkuasa kerana ia sangat subjektif dari segi undang-undang, kata Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng.

Susulan itu berliau meminta peguam negara menjelaskan rasional di sebalik tindakan polis menahan individu merakam operasi yang dijalankan secara terang-terangan.

Ahli Parlimen DAP itu mengulas penahanan tiga pengunjung pusat hiburan di Pulau Pinang malam kelmarin kerana merakam pihak berkuasa melakukan serbuan.

“Pada malam kelmarin, pihak polis di Pulau Pinang telah menyerbu sebuah pertunjukan muzik yang diadakan di sebuah kafe dan pusat hiburan kecil-kecilan di Georgetown. 

“Di dalam serbuan tersebut, selain daripada menahan pengusaha kafe pihak polis juga telah menahan tiga orang daripada pengunjung pertunjukan muzik tersebut kerana mereka didapati merakam pihak berkuasa ketika serbuan sedang dijalankan,” katanya dalam kenyataan.

Tindakan polis menahan tiga pengunjung itu disifatkan sebagai tindakan yang menekan orang awam, tambah Lim.

“Peguam negara perlu menjelaskan apakah rasional operasi pihak berkuasa yang dijalankan secara terang-terangan tidak boleh dirakam.

“Dalam kes ini, mengapakah individu-individu ini ditangkap hanya kerana mengambil rakaman keadaan yang berlaku? 

“Bukanlah lebih baik agar operasi-operasi yang dijalankan oleh pihak berkuasa tidak dilakukan secara rahsia (clandestine)? Perkara-perkara seperti ini sewajarnya ditunjukkan kepada awam di atas dasar ketelusan di dalam menjalankan tugas,” katanya.

Lim seterusnya bertanya jika orang awam tidak dibenarkan merakam serbuan mengapa anggota polis tidak memakai kamera badan ketika menjalankan tugas.

“Lebih bagus kamera badan dipasang ke atas pihak polis yang menjalankan tugas. 

“Pembelian alatan-alatan berkenaan oleh pihak polis sudah dijadualkan pada 2021, kini sudah pun tahun 2023 - bilakah perkara ini akan dikuatkuasakan? 

“Ini adalah isu penting yang perlu dititik beratkan memandangkan kerajaan baru ini mengutamakan reformasi di dalam badan kepolisian,” katanya.

The Malaysian Insight sudah menghubungi Bukit Aman untuk mendapatkan penjelasan.

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail bulan lepas berkata kementeriannya sedang dalam proses perolehan mendapatkan kamera badan untuk kegunaan Polis Diraja Malaysia.

Katanya kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM30 juta bagi perolehan alat tersebut.

“Saya dimaklumkan oleh ketua setiausaha (KSU) bahawa peruntukan RM30 juta telah diluluskan dan sekarang, kita sedang dalam proses perolehan (kamera badan).

Saifuddin berkata pihaknya juga akan melakukan tindakan susulan bagi memastikan proses perolehan kamera badan itu dapat disegerakan.

“Kita harap kerenah yang melambatkan itu akan dapat kita atasi,” katanya seperti dilapor media. – 31 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen