AMALAN kepenggunaan dalam kalangan masyarakat Vietnam berubah selepas pandemik Covid-19 apabila semakin ramai menggunakan produk terpakai untuk menjimatkan wang dan menggalakkan kemampanan, lapor media tempatan pada Isnin.
Tiga kategori jualan barangan terpakai yang popular ialah elektronik, barangan rumah dan perabot serta motosikal, lapor Xinhua memetik akhbar Vietnam News.
Tiga barangan utama terpakai yang paling banyak dicari ialah pembesar suara, komputer riba dan set televisyen.
Pengguna di Vietnam lebih prihatin terhadap alam sekitar dan pembangunan mampan, lapor akhbar itu memetik pakar tempatan.
Menurut platform barangan terpakai, Cho Tot, penggunaan produk terpakai memanjangkan kitaran hayat berjuta-juta barangan termasuk 76.8 juta barangan fesyen, 33.9 juta produk elektronik dan 11.1 juta barangan rumah dan perabot sepanjang dekad lepas.
Pasaran barangan terpakai Vietnam bernilai AS$1.1 bilion dan terdapat peningkatan keutamaan di negara ini untuk barangan terpakai, akhbar Tuoi Tre (Belia) tempatan memetik laporan Redseer Strategy Consultants.
Berikutan semakin ramai penduduk di Vietnam memilih untuk membeli produk barangan terpakai, Cho Tot menganggarkan pasaran barangan terpakai di negara itu mencecah AS$5.1 bilion menjelang 2026. – Bernama,31 Januari 2023.
Komen