Tetap sayang Umno walau dipecat, kata Khairy


Ravin Palanisamy

Khairy Jamaluddin berkata beliau dipecat minggu lalu kerana bertegas mahu dua jawatan tertinggi dalam Umno dipertandingkan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Januari 2023.

WALAU dipecat daripada Umno kerana didakwa melakukan sabotaj pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, Khairy Jamaluddin berkata rasa sayang kepada parti yang disertai selama 23 tahun sedikit pun tidak berubah.

Bekas ketua Pemuda Umno itu berkata parti itu selama-lamanya akan tetap di hati meski bertukar haluan selepas ini.

“Rasa sayang dan setia saya kepada Umno tidak pernah berkurang,” katanya kepada The Malaysian Insight.

“Saya sudah bersama Umno selama 23 tahun, dan saya berikan segala-galanya untuk parti.

“Ke mana pun saya pergi, Umno tetap di hati saya selama-lamanya,” tambah beliau.

Khairy yang juga bekas ahli Parlimen Rembau berkata tidak pernah sekali pun terlintas di fikirannya untuk meninggalkan parti berasaskan Melayu itu.

“Saya setia. Saya tak tinggalkan parti, tetapi saya dipecat,” ujarnya, menambah pemecatannya pada Jumaat lepas tidak melalui proses yang sewajarnya.

“Saya tidak dipanggil untuk membela diri, malah saya tidak dimaklumkan bahawa kes saya dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi.

“Pemecatan saya sama sekali tidak adil,” jelasnya.

Ditanya jika lebih rela keahliannya digantung, Khairy berkata lebih baik jika beliau dipecat.

“Kalau parti sudah tidak perukan kita, maka lebih baik pecat sahaja.”

Jumaat lalu, Khairy bersama bekas ketua Umno Selangor Noh Omar dipecat kerana didakwa bertindak bertentangan dengan kepentingan parti.

Umno selain itu menggantung keahlian Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein dan bekas ketua penerangan parti itu Shahril Hamdan selama enam tahun.

Dua lagi yang digantung keahlian mereka ialah Ketua Umno Jempol Mohd Salim Sharif dan Ketua Umno Tebrau Maulizan Bujang. 

Pembaharuan hanya boleh berlaku apabila pucuk pimpinan Umno diganti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 31 Januari 2023.

Jadi mangsa 

Khairy yang juga bekas menteri kesihatan beliau dipecat kerana bertegas mahu jawatan presiden dan timbalan presiden Umno dipertandingkan.

Kata beliau, sudah tiba masanya kepimpinan Umno diganti selepas prestasi buruk parti itu pada PRU15 tahun lalu, yang hanya menang 26 kerusi.

Khairy bagaimanapun menafikan beliau mahu dua jawatan tertinggi parti dipertandingkan kerana berdendam dengan presiden, Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya hanya mahu dia buka ruang supaya jawatan presiden dan timbalan dipertandingkan kerana Umno hanya menang 2 kerusi di bawah kepimpinan Zahid. 

“Jadi apa yang sepatutnya parti buat ialah buka pertandingan (jawatan presiden dan timbalan).

“Saya tiada masalah peribadi dengan Zahid. Saya masih anggap dia sebagai kawan.

“Pertandingan mesti dibuka. Kalau dia menang, tak mengapa, kita terima. Jika orang lain menang baguslah, kerana saya percaya Umno perlukan kepimpinan baharu,” jelasnya.

Khairy Jamaluddin berkata keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi Umno menandakan demokrasi dalam parti itu sudah mati.– Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 31 Januari 2023.

Tidak bercadang tanding jawatan presiden Umno

Khairy menegaskan beliau tidak berniat untuk mencabar Zahid atau Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, sebaliknya mengalu-alukan bekas naib presiden Hishamuddin Hussein dan naib presiden Ismail Sabri Yaakob bertanding merebut dua jawatan tertinggi parti.

“Saya sudah maklumkan kepada Hishammuddin dan Ismail yang saya dengan senang hati beri laluan kepada mereka.

“Saya tidak bercadang pun untuk tanding jawatan presiden. Saya beritahu Hishammuddin dan Ismail dulu saya dah bertanding tapi tidak berjaya.

“Jadi, beritahu mereka supaya tanding jawatan presiden,” jelas beliau.

Khairy menambah, keputusan untuk tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi Umno menandakan demokrasi dalam parti itu sudah mati.

“Prestasi Umno merosot teruk tetapi parti masih tidak mahu lakukan pembaharuan dalam kepimpinan.

“Apabila sesebuah organisasi kalah teruk dalam pilihan raya umum, pembaharuan hanya boleh berlaku apabila ahli dibenarkan untuk menetapkan ke mana hala tuju seterusnya.

“Tetapi kalau hak ahli dinafikan dinafikan juga maka sukar untuk Umno ‘dilahirkan’ semula,” katanya. – 31 Januari 2023. 


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen