Anwar khianati rakyat lantik anak sendiri jadi penasihat, kata Hamzah


Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin berkata amalan nepotisme oleh PM Anwar Ibrahim adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim mengkhianati rakyat apabila beliau sendiri mengamalkan nepotisme dengan melantik anaknya Nurul Izzah Anwar sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangannya, kata Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin.

“Amalan nepotisme oleh Anwar adalah pengkhianatan kepada rakyat Malaysia,” katanya  dalam satu kenyataan.

Beliau mendesak Anwar mengotakan katanya tentang nepotisme dan menarik balik pelantikan Nurul Izzah.

“Nepotisme PKR tidak boleh diheret sama ke dalam pentadbiran kerajaan.

“Walk the talk, please (tolong buat apa yang dicakap),” tambahnya.

Anwar yang juga presiden PKR dan pengerusi Pakatan Harapan melancarkan perjuangan politiknya dengan slogan Reformasi hampir 25 tahun lalu dan melaungkan antara lain supaya rakyat menolak nepotisme dan kronisme.

Beliau lantang mengkritik amalan tersebut dalam kalangan pemimpin politik dan perniagaan.

Menurut Hamzah, pelantikan Nurul Izzah bukan sahaja tidak wajar dan salah, malah merosakkan imej kerajaan kerana bertentangan dengan amalan tadbir urus baik, integriti dan bebas rasuah.

“Pro bono bukan alasan untuk menghalalkan nepotisme.

“Alasan Anwar mempertahankan pelantikan anaknya adalah sesuatu yang amat memalukan, lebih-lebih lagi Tan Sri Hassan Merican sudah pun bertindak sebagai penasihat kepada perdana menteri,” katanya.

Pada 2 Disember, semasa sidang media pertamanya sebagai menteri kewangan, Anwar mengumumkan bekas penasihat Petronas itu akan mengetuai pasukan penasihatnya di Kementerian Kewangan.

Nurul Izzah dilantik sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepada Anwar sejak 3 Januari lepas namun pelantikannya tidak pernah diumumkan secara rasmi.

Pelantikan itu diketahui umum selepas Nurul Izzah mendedahkannya dalam wawancara dengan The Star yang disiar semalam.

Anwar yang diminta mengulas laporan itu di Ipoh semalam mengesahkan pelantikan tersebut.

“Memang saya pelawa dia untuk membantu saya sebagai penasihat di Pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Kewangan tetapi saya tidak membayar apa-apa elaun kepada dia, baik di Pejabat Perdana Menteri dan di Kementerian Kewangan,” katanya.

Anwar juga mempertahankan kelayakan Nurul Izzah untuk jadi penasihatnya.

Menurut Hamzah, pelantikan nepotisme ini menunjukkan Malaysia Madani hanyalah retorik kosong Anwar.

“Keutamaan perdana menteri nampaknya lebih terarah kepada ahli keluarga sendiri berbanding menyelesaikan isu kos sara hidup, menangani cabaran ekonomi serta meneroka pasaran baharu untuk Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, pemimpin muda Bersatu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir mempersoalkan komitmen Anwar kepada tadbir urus baik selepas beliau mengesahkan berita pelantikan Nurul Izzah sebagai penasihat kanannya.

Beliau juga mempersoalkan kewajaran pelantikan itu ketika Anwar sudah mempunyai menteri ekonomi Rafizi Ramli dan timbalannya Hanifah Hajar Taib.

“Adakah ‘good governance’ apabila anak sendiri dilantik ke jawatan penasihat senior? Maka bukankah itu nepotisme?” soalnya.

Pelantikan Nurul Izzah juga dikritik oleh Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim daripada PKR yang menyifatkannya “betul dari segi undang-undang, tetapi salah dari segi moral”. – 30 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen