Permohonan batal petisyen pilihan raya Marang diputuskan 12 Februari 


Diyana Ibrahim

Hakim menetapkan tarikh keputusan pada 12 Februari selepas mendengar hujah peguam yang mewakili Presiden PAS Abdul Hadi Awang selaku pemenang kerusi Parlimen Marang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Januari, 2023.

MAHKAMAH Pilihan Raya yang bersidang di Kuala Terengganu hari ini menetapkan 12 Februari untuk memberikan keputusan sama ada akan mendengar atau menolak petisyen untuk membatalkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRu15) bagi kawasan Parlimen Marang.

Hakim Hassan Abdul Ghani menetapkan tarikh keputusan itu selepas mendengar hujah peguam-peguam yang mewakili Presiden PAS Abdul Hadi Awang selaku pemenang kerusi Parlimen Marang dan pihak pempetisyen daripada Umno Terengganu.

Hadi diwakili pasukan peguam Perikatan Nasional (PN) diketuai oleh Takiyuddin Hassan, yang juga setiausaha agung PAS, sementara peguam Mohd Hafarizam Harun mengetuai barisan peguam bagi pihak pempetisyen.

Hassan, yang juga hakim di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu, turut meminta peguam kedua-dua pihak untuk mengemukakan hujah tambahan secara bertulis sebelum 6 Februari.

Hassan sebelum itu menolak permohonan pihak pempetisyen untuk beliau menarik diri daripada mengadili petisyen tersebut kerana persepsi atas sebab beliau adalah juga hakim di Kuala Terengganu.

Katanya, pihak pempetisyen gagal menunjukkan kemungkinan beliau akan berat sebelah.

“Mahkamah berpendapat ia hanya berdasarkan persepsi sahaja. Oleh itu mahkamah menolak bantahan peguam pempetisyen berkenaan pelantikan saya sebagai hakim dalam kes ini,” kata Hassan.

Mahkamah kemudian mendengar hujah Takiyuddin yang merumuskan petisyen yang dikemukakan oleh calon Barisan Nasional (BN) Jasmira Othman adalah cacat, terbatal dan tidak sah.

Petisyen itu dikemukakan di luar had masa yang ditetapkan mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 selain tidak memberikan fakta lengkap kejadian rasuah seperti yang didakwa, katanya.

Takiyuddin berhujah seseorang yang bernama Mohamad Nordin dinamakan sebagai ejen kepada Hadi, yang dituduh merasuah pengundi, namun petisyen itu tidak mengaitkan hubungan mereka berdua.

Hafarizam dalam hujah balasnya berkata ejen kepada Hadi yang didakwa itu adalah ahli jawatankuasa PAS Marang yang menjaga kewangan dan aset parti.

“Fakta material ini sudah cukup dan boleh diberi keterangan dalam perbicaraan,” katanya.

Hafarizam seterusnya memohon mahkamah mempertimbangkan untuk menolak bantahan awal Hadi berdasarkan trend selepas 2013 apabila mahkamah membicarakan semua petisyen pilihan raya.

Sementara itu, permohonan PN untuk membatalkan dua lagi petisyen pilihan raya iaitu bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu dan Kemaman juga didengar petang ini secara dalam talian.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam Mohd Firuz Jaffril mendengar petisyen untuk kerusi Parlimen Kuala Terengganu sementara pesuruhjaya kehakiman di Mahkamah Tinggi Kota Bahru Mohamad Abazafree Mohd Abbas mendengar petisyen untuk kerusi Parlimen Kemaman. – 30 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen