8 maut dalam tembakan bar di utara Mexico


Perdagangan dadah ke AS mencetuskan pertikaian ganas antara Jalisco New Generation dan kartel Sinaloa, yang paling berkuasa di Mexico. – Gambar EPA, 30 Januari 2023.

LAPAN orang maut dan lima cedera dalam kejadian tembakan di sebuah kelab malam di bandar Jerez di utara Mexico, kata polis semalam.

Insiden di negeri Zacatecas berlaku lewat Jumaat hingga Sabtu apabila lelaki bersenjata lengkap tiba di bar dengan dua kenderaan menceroboh masuk dan mula menembak secara rambang, kata laporan dari Sekretariat Keselamatan.

Enam orang maut di tempat kejadian dan dua lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan perubatan manakala lima orang masih dirawat di hospital semalam kerana luka tembakan.

Mangsa termasuk pekerja kelab, pemuzik dan pelanggan, kata media tempatan. Saksi berkata orang ramai panik apabila lantai kelab itu dipenuhi darah.

Bar “El Venadito” terletak di tengah-tengah Jerez, sebuah perbandaran kira-kira 60km barat daya ibu negeri Zacatecas.

Negeri Zacatecas merupakan titik strategik untuk perdagangan dadah ke AS yang mencetuskan pertikaian ganas antara Jalisco New Generation dan kartel Sinaloa yang paling berkuasa di Mexico. – AFP, 30 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen