39 maut bas terjatuh ke dalam gaung di Pakistan


Sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita berjaya diselamatkan. – Gambar AFP, 29 Januari, 2023.

SEKURANG-kurangnya 39 orang maut susulan bas dinaiki terjatuh ke dalam gaung di barat daya Pakistan pada pagi Ahad, lapor Agensi Anadolu memetik pegawai dan media tempatan.

Kemalangan itu berlaku di bandar Lasbela di barat daya wilayah Balochistan yang terletak kira-kira 116 kilometer (72 batu) dari ibu kota Karachi.

Asisten Komisioner Lasbela Hamza Anjum memberitahu pemberita kenderaan malang yang membawa 48 penumpang itu dalam perjalanan dari ibu kota wilayah Quetta ke Karachi.

Kenderaan itu didakwa dipandu laju sebelum terjatuh ke dalam gaung lalu terbakar.

Sekurang-kurangnya tiga orang termasuk seorang kanak-kanak dan seorang wanita berjaya diselamatkan.

Pegawai itu menambah bahawa operasi menyelamat sedang dijalankan untuk mengeluarkan mayat dan mangsa cedera. – Bernama, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen