2 terbunuh, ratusan cedera dalam gempa bumi di Iran


Gempa bumi berukuran 5.9 magnitud melanda barat laut Iran berhampiran sempadan Turki semalam mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. – Gambar EPA, 29 Januari, 2023.

GEMPA bumi berukuran 5.9 magnitud melanda barat laut Iran berhampiran sempadan Turki semalam mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang dan mencederakan ratusan yang lain, kata media kerajaan.

Gempa melanda bandar Khoy di wilayah Azerbaijan Barat pada 9:44 malam, kata Pusat Seismologi Universiti Tehran.

“Setakat ini gempa bumi ini menyebabkan 580 cedera dan dua maut,” kata gabenor Azerbaijan Barat Mohammad Sadegh Motamedian, dipetik agensi berita IRNA.

“Menteri dalam negeri dan ketua Persatuan Bulan Sabit Merah sedang dalam perjalanan ke Khoy,” tambahnya.

Iran terletak di sempadan beberapa plat tektonik utama dan mengalami aktiviti seismik yang kerap.

Pada 18 Januari, gempa 5.8 berhampiran Khoy menyebabkan ratusan cedera.

Pada Februari 2020, gempa bumi berukuran 5.7 magnitud yang menggegarkan perkampungan barat Habash-e Olya membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang di sempadan di negara jiran Turki.

Gempa paling dahsyat di Iran yang direkodkan ialah gegaran 7.4 magnitud pada 1990 yang mengorbankan 40,000 orang di utara negara itu mencederakan 300,000 dan menyebabkan setengah juta kehilangan tempat tinggal. – AFP, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen