KOREA Utara pada Ahad menafikan membekalkan senjata api kepada Moscow selepas Amerika Syarikat berkata negara kuasa nuklear itu membekalkan roket dan peluru berpandu kepada kumpulan tentera persendirian Wagner berpangkalan di Rusia.
Awal bulan ini, Washington meletakkan Wagner dalam senarai “organisasi jenayah transaksi”, memetik perjanjian senjata antaranya dengan Pyongyang yang melanggar resolusi Majlis Keselamatan PBB.
White House mengedarkan gambar risikan AS menunjukkan gerakan keretapi Rusia memasuki Korea Utara, mengambil bekalan roket dan peluru berpandu dan kembali ke Rusia, menurut jurucakap keselamatan nasional John Kirby.
Dalam kenyataan diterbitkan Agensi Berita Pusat Korea, seorang pegawai Korea Utara menolak dakwaan itu, memberi amaran yang AS akan berdepan “kesan tidak dimahukan” jika ia terus menyebarkan “khabar angin ciptaan sendiri”.
“Cubaan mencemarkan imej (Korea Utara) dengan memalsukan perkara tidak wujud adalah provokasi besar yang tidak akan dibenarkan dan hanya mencetuskan tindak balas,” kata Kwon Jong Gun, ketua pengarah Jabatan Hal Ehwal AS.
Beliau menyifatkan “cubaan bebal untuk mengasbabkan pemberian senjata kepada Ukraine”.
Awal minggu ini, Presiden AS Joe Biden menjanjikan 31 kereta kebal Abrams, salah satu senjata paling berkuasa dan canggih tentera AS bagi membantu Kyiv melawan pencerobohan Moscow.
Tindakan itu mencetuskan kritikan hebat Kim Yo Jong, adik pemimpin Korea Utara Kim Jong Un, yang menuduh Washington “berterusan melintasi sempadan merah” dengan menghantar senjata api ke Ukraine.
Bersama China, Rusia adalah antara rakan antarabangsa Korea Utara yang sering membantu negara itu.
Selain Syria dan Rusia, Korea Utara adalah negara yang mengiktiraf kebebasan Luhansk dan Donetsk, dua wilayah pemisah disokong Rusia di timur Ukraine.
Rusia, salah satu ahli tetap Majlis Keselamatan PBB, antara benteng terakhir tekanan antarabangsa kepada Korea Utara, malah pernah meminta pelepasan sekatan antarabangsa atas sebab kemanusiaan.
Kim Jong Un mengisytiharkan Korea Utara sebagai kuasa nuklear pada September, dan negara itu melaksanakan ujian senjata hampir setiap bulan, termasuk melepaskan peluru berpandu balistik canggih antara benua miliknya. – AFP, 29 Januari, 2023.
Komen