Rwanda tahan 6 orang hina pengadil bola sepak wanita


Salima Mukansanga adalah antara tiga pengadil wanita dipanggil mengadili Piala Dunia 2022 di Qatar. – Gambar AFP, 29 Januari, 2023.

PIHAK berkuasa Rwanda pada Sabtu berkata mereka menahan enam orang kerana didakwa menghina seorang wanita yang mencipta sejarah menjadi pengadil wanita pertama dipilih untuk Piala Dunia lelaki.

Kata-kata menghina itu berulang kali dilemparkan kepada Salima Mukansanga oleh peminat Kelab Bola Sepak Kiyovu ketika mengadili perlawanan antara kelab itu dengan Gasogi United yang berakhir 0-0 pada 20 Januari di Nyamat, selatan Kigali.

Thierry Murangira, jurucakap Biro Siasatan Rwanda (RIB) memberitahu AFP yang tiga wanita dan tiga lelaki ditahan pada Khamis.

“Mereka yang ditahan melemparkan kata-kata hinaan secara terbuka dan diskriminasi,” kata Murangira.

“Mereka dipercayai melakukan jenayah itu semasa perlawanan antara Kiyovu FC dan Gasogi United dan kini dalam tahanan RIB.”

“Siasatan akan diteruskan dan kami sedang menyiapkan kertas siasatan untuk dihantar ke pendakwaan, kami juga masih mencari mereka yang terlibat dalam jenayah itu.”

Persatuan bola sepak Rwanda minggu ini melancarkan siasatan ke atas kejadian itu, berikrar menamakan dan memalukan mereka yang terlibat.

Di bawah Kod Keseksaan Rwanda, penghinaan awam membawa hukuman penjara antara dua hingga enam bulan dan denda antara AS$500 hingga AS$3000.

Sesiapa yang disabitkan bersalah kerana diskriminasi pula boleh dipenjara antara lima hingga tujuh tahun.

Mukansanga adalah antara tiga wanita daripada 36 pengadil dipilih Fifa bagi mengadili Piala Dunia di Qatar pada 2022.

Ia adalah kali pertama wanita dipanggil mengadili perlawanan lelaki, walaupun Mukansanga akhirnya tidak bertugas sepanjang pertandingan itu.

Wanita berusia 34 tahun itu mencipta sejarah tahun lepas apabila menjadi wanita pertama mengadili Piala Negara Afrika. Beliau juga bertugas di Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis. – AFP, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen