Iran pintas serangan dron ke tapak tentera


Serangan yang digagalkan itu berlaku di daerah Isfahan, daerah utama projek nuklear Iran. – Gambar AFP, 29 Januari, 2023.

IRAN pada Ahad berkata ia memintas serangan dron ke atas satu tapak tentera di tengah daerah Isfahan, menurut Kementerian Pertahanan dipetik agensi berita Irna.

“Satu serangan menggunakan dron gagal dilaksanakan ke atas salah sebuah kompleks bengkel Kementerian Pertahanan,” katanya, menambah yang serangan pada lewat malam Sabtu itu hanya menyebabkan kerosakan kecil di bumbung bangunan tanpa kehilangan nyawa.

Timbalan Gabenor Isfahan Mohammad Reza Jan-Nesari juga berkata yang “tiada korban” menambah yang “punca kejadian masih dalam siasatan.”

Pihak berkuasa tidak menjelaskan aktiviti di kawasan sasaran yang terletak di utara bandar Isfahan.

Iran dikenalpasti mempunyai beberapa tapak nuklear di kawasan itu, termasuk kilang pengayaan uranium.

Pada April 2021, Tehran mengumumkan yang ia akan mula mengeluarkan 60% uranium diperkaya di Natanz yang terletak di daerah Isfahan.

Rundingan untuk menghidupkan semula perjanjian nuklear 2015 dikenali sebagai JCPOA antara Iran, Kesatuan Eropah dan enam kuasa besar dunia terhenti selepas Amerika Syarikat menarik diri pada 2018.

Perjanjian bermatlamat untuk menghalang Tehran daripada menghasilkan senjata nuklear, yang sentiasa dinafikan Iran.

Sejak beberapa tahun lepas, Iran menuduh Israel melakukan beberapa siri operasi serangan ke wilayahnya, termasuk serangan yang membunuh pakar sains nuklear utama Iran, Mohsen Fakhrizadeh, pada November 2020.

Selain itu, Tehran juga dituduh membekalkan bekalan dron kepada Rusia dalam perang di Ukraine, tuduhan yang dinafikan Iran. – AFP, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen