3 maut ditembak berhampiran Beverly Hills


Tiga orang maut dan empat cedera dalam kejadian tembakan rambang di sebuah rumah agam mewah berhampiran Beverly Hills, AS. – Gambar AFP, 29 Januari, 2023.

TIGA orang maut ditembak semalam dan empat lagi cedera di sebuah rumah agam mewah berhampiran Beverly Hills, yang disifatkan polis AS sebagai satu perhimpunan di hartanah sewa jangka pendek.

Perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke alamat di kawasan Benedict Canyon, Los Angeles malam tadi, di mana mereka menemui tiga mayat di kawasan parkir luar.

Empat yang cedera pula sedang menerima rawatan di hospital, dua daripadanya kritikal.

Kejadian itu yang berlaku selepas dua tragedi tembakan rambang di California yang meragut 18 nyawa, berlaku di kawasan antara Beverly Hills dan Bel Air, kawasan hartanah mewah.

Detektif yang menyiasat kes itu berkata ia berlaku di “sebuah rumah sewa jangka pendek”, lapor The Los Angeles Times.

Rumah berhampiran tempat kejadian- yang tidak terlibat dalam kes itu- masih disenaraikan di laman AirBnB dengan sewa mencecah AS$10,000 (RM42,400) untuk hari minggu.

Rumah yang menjadi tempat kejadian tidak tersenarai di laman web itu.

Polis berkata mereka masih mengumpul maklumat berkaitan perhimpunan di kawasan kejadian.

“Kami memanggilnya perhimpunan, sehingga kami boleh menemuramah beberapa orang yang berada di sana bagi menentukan jenis perhimpunan yang diadakan,” kata Bruce Borihanh daripada Jabatan Polis Los Angeles kepada wartawan.

“Penyiasat juga melakukan carian rumah ke rumah dan mencari video pengawasan tambahan, atau sebarang bukti yang boleh membantu kami menentukan apa yang sebenarnya berlaku dan mengapa mangsa ditembak.” – AFP, 29 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen