ANKARA semalam mengeluarkan amaran perjalanan untuk Amerika Syarikat dan Eropah sebagai tindakan balas terhadap amaran serupa oleh kuasa Barat untuk Turki.
Amerika Syarikat dan negara-negara utama Eropah menasihatkan rakyat mereka supaya tidak menghadiri acara besar-besaran dan mengelakkan kawasan tumpuan pelancong di Turki.
Amaran itu dibuat selepas berlaku peningkatan ketegangan diplomatik yang dikaitkan dengan keengganan Turki untuk membenarkan Sweden dan Finland menyertai blok pertahanan Nato yang diketuai AS.
Ankara baru-baru ini berang dengan protes anti-Islam oleh pelampau sayap kanan yang membakar Al-Quran di luar kedutaan Turki di Stockholm dan Copenhagen.
Nasihat perjalanan pertama kementerian luar Turki memberi amaran tentang “tahap berbahaya intoleransi agama dan kebencian di Eropah”.
Kenyataan berasingan berkata “baru-baru ini terdapat serangan lisan dan fizikal terhadap warga asing dan tindakan perkauman yang dilakukan di seluruh Amerika Syarikat.”
Finland dan Sweden memohon untuk menyertai Nato sebagai tindak balas kepada pencerobohan Rusia ke atas Ukraine.
Tawaran untuk menyertai Nato mesti diluluskan oleh semua 30 ahli perikatan.
Turki dan Hungary adalah satu-satunya ahli yang tidak mengesahkan kedua-dua permohonan itu melalui undian di Parlimen.
Badan perundangan Hungary dijangka meratifikasi kedua-dua permohonan itu bulan depan. – AFP, 29 Januari, 2023.
Komen