Elak kongsi maklumat operasi sekatan jalan di aplikasi Waze, kata polis


POLIS Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat operasi sekatan jalan raya (SJR) dilaksanakan pasukan itu menerusi aplikasi Waze.

Ketua Polis Kuala Lumpur Azmi Abu Kassim berkata tindakan itu, hanya akan menghalang penguatkuasaan terhadap pemandu di bawah pengaruh alkohol dan pelbagai kesalahan trafik lain.

Azmi berkata, pengguna jalan raya harus sedar bahaya yang akan dihadapi disebabkan kecuaian daripada pemandu mabuk, melanggar lampu isyarat, memandu melawan arus dan sebagainya.

“Bagi individu yang tidak pernah terkesan dengan musibah diakibatkan oleh kecuaian dan kelalaian pesalah trafik, tidak akan dapat merasakan keperitan dan kesengsaraan yang ditanggung keluarga mangsa.

“Oleh itu, besarlah harapan saya agar orang ramai terutamanya pengguna jalan raya, memberi kerjasama kepada pihak polis daripada cuba membantu mereka yang melakukan kesalahan jalan raya ini,” katanya ketika berucap pada program ‘high profile policing’ di Wonderland Park, Taman Sri Murni, Kuala Lumpur malam ini.

Terdahulu, Azmi bersama Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai dan Pengerusi Eksekutif JL 99 Group Jeff Lee, menghadiri program ‘high profile policing’ bagi menasihatkan masyarakat supaya peka terhadap jenayah yang berlaku, selain meningkatkan tahap kesedaran serta keselamatan komuniti setempat. – Bernama, 28 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen