Digantung Umno bukan penamat karier politik, kata Hishammuddin


Dengan penggantungannya, Hishammuddin Hussein, 61, tidak boleh bertanding pada pemilihan Umno pertengahan Mac nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Januari, 2023.

HISHAMMUDDIN Hussein berkata tindakan Umno menggantung keahliannya daripada parti selama enam tahun bukan penamat kerjaya politiknya, sebaliknya akan menjadi satu permulaan baharu.

Dalam satu mesej pendek melalui video, bekas naib presiden Umno itu berkata beliau akan terus berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Apa yang berlaku tidak sesekali mematahkan semangat saya untuk cekal berjuang demi agama, bangsa dan tanah air.

“Ini bukanlah pengakhiran, tapi hanya permulaan. Permulaan yang baharu,” katanya.

Rakaman video itu dimuat naik ke akaun media sosialnya, malam ini.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang bermesyuarat malam tadi memutuskan untuk menggantung keahlian Hishammuddin selama enam tahun bersama tiga yang lain, termasuk bekas ketua penerangan parti Shahril Sufian Hamdan.

Dua lagi yang digantung ialah Maulizan Bujang (ketua Umno Tebrau) dan Salim Sharif (ketua Umno Jempol).

Dengan penggantungannya, Hishammuddin, 61, tidak boleh bertanding pada pemilihan Umno yang akan diadakan pada pertengahan Mac nanti.

Hishammuddin yang juga ahli Parlimen Sembrong dipercayai digantung kerana penglibatannya mengumpulkan sokongan 10 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) untuk menyokong pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri selepas pilihan raya umum lepas.

Mengenai langkah politik beliau seterusnya, Hishammuddin berkata beliau akan mendapatkan pandangan daripada kepimpinan Umno Sembrong.

Kenyataan video Hishammuddin dikeluarkan beberapa jam selepas beliau membuat komen pendek berbunyi: “Their evil must not make us lose our good (Kejahatan mereka tidak semestinya menghilangkan kebaikan kita).”

MKT Umno turut memecat 44 ahlinya termasuk bekas ketua sayap Pemuda, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas pengerusi Umno Selangor, Noh Omar.

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyifatkan tindakan itu sebagai “pembersihan besar-besaran” parti. – 28 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen