Usain Bolt tertekan cuba dapatkan balik duit ditipu


Usain Bolt berada dalam keadaan tertekan apabila cuba mendapatkan semula lebih AS$12.7 juta yang hilang daripada akaun pelaburannya dengan firma pelaburan swasta. – Gambar AFP, 28 Januari 2023.

PEMEGANG rekod dunia olahraga acara 100m, 200m dan 4x100m Usain Bolt semalam berkata beliau berada dalam keadaan tertekan apabila cuba mendapatkan semula lebih AS$12.7 juta yang hilang daripada akaun pelaburannya dengan firma pelaburan swasta.

Bolt yang berusia 36 tahun awal bulan ini dimaklumkan baki akaunnya di Stock & Securities Limited (SSL) yang berpangkalan di Kingston  yang sebelum ini berbaki AS$12.8 juta (RM55.212 juta) kini hanya tinggal AS$12,000 (RM51,762) sahaja, kata peguam Linton Gordon kepada Reuters.

“Saya akan menyerahkan perkara itu kepada peguam dan memberi tumpuan kepada keluarga saya, saya cuba tidak terlalu memikirkannya kerana ia sangat memberi tekanan,” tambah juara dunia 11 kali itu.

SSL dalam kenyataan 12 Januari lalu mereka menyedari aktiviti penipuan oleh bekas pekerja dan merujuk perkara itu kepada penguatkuasaan undang-undang sambil menambah sudah mengambil langkah untuk mendapatkan semula aset.

Constabulary Jamaica berkata pasukan penyiasat penipuan dan kewangannya sedang menyiasat “dakwaan aktiviti penipuan di (SSL) yang dikatakan menjejaskan akaun Usain Bolt dalam kalangan individu lain.”

Bolt bersara pada 2017 selepas mendominasi acara lari pecut global selama sedekad. – Reuters, 28 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen