Ekonomi China dorong pertumbuhan ekonomi serantau, kata PBB


Pertumbuhan ekonomi China diramal akan menjadi lebih pesat dan kadar pertumbuhannya mencapai 4.8% pada 2023. – Gambar EPA, 28 Januari 2023.

KADAR pertumbuhan ekonomi dunia dijangka mencapai 1.9% pada 2023, lebih rendah berbanding kira-kira 3% pada 2022.

Pada masa sama, ekonomi China dijangka mendorong pertumbuhan ekonomi serantau, memetik laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai situasi dan prospek ekonomi dunia 2023 yang diedarkan pada Rabu.

Laporan itu meramalkan pertumbuhan ekonomi China akan menjadi lebih pesat dan kadar pertumbuhannya mencapai 4.8% pada 2023.

Ini berikutan kerajaan China mengubah suai dasar pembendungan wabak di samping mengambil langkah menjana ekonomi yang dipercayai bakal merangsang penggunaan domestik.

Ketua Pusat Pemantauan Ekonomi Global PBB, Hamid Rashid berkata berbeza dengan negara membangun yang lain, China mengekalkan dasar kewangan dan monetari yang kuat dan ia akan memberikan sokongan kukuh kepada pertumbuhan ekonominya.

Menurut laporan itu, peningkatan ekonomi China akan memberi pengaruh besar kepada negara-negara di rantau Asia Timur dan pemulihan ekonomi China dijangka mampu menjana pertumbuhan ekonomi serantau.

Selain itu, laporan itu juga mengunjurkan ekonomi dunia akan terus menghadapi tekanan besar pada 2023.

Kadar pertumbuhan ekonomi Kesatuan Eropah (EU) akan mencapai 0.2%, Amerika Syarikat (AS) 0.4%, dan Jepun 1.5%, pada 2023. – Bernama, 28 Januari 2023. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen