Haramkan poster pilihan raya


TAJUK tulisan saya ini secara sepintas lalu pasti akan dianggap oleh sesetengah pembaca sebagai “hujah orang yang kalah”. 

Namun tajuk ini sebenarnya, bukanlah pandangan atau cadangan yang baharu atau asing; sebelum ini pernah beberapa ahli politik mahu pun parti politik menyuarakan pandangan yang hampir sama iaitu kempen pilihan raya tidak perlu lagi poster-poster kempen.

Saya angkat kembali isu ini menjadi tajuk sebagai ulasan kepada kenyataan Dr Mahathir Mohamad baru-baru ini yang mendakwa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu sebagai pilihan raya paling korup – politik wang (rasuah).

Saya juga pernah melaluinya pada PRU15 dan Pilihan Raya Negeri Johor lalu.

Ia memang benar-benar berlaku namun untuk mendakwa kes-kes ini bukan suatu perkara yang mudah, khususnya dalam aspek teknikal perundangan.

Bagaimana rasuah memberi kesan?

Budaya memberi rasuah dalam pelbagai bentuk baik sebelum atau semasa kempen pilihan raya sudah dilihat sebagai “normal”.

Malah, kita akan disindir jika turun berkempen hanya membawa risalah penerangan tanpa membawa sampul surat atau ang pau.

Kita juga akan dilihat lekeh jika bendera dan poster kempen kurang kelihatan.

Rakyat memberi lojik “bagaimana satu-satu calon atau parti nak menang kalau tak mampu (tiada wang yang banyak) untuk menyediakan bahan-bahan berkempen”.

Sekalipun pandangan dan kritikan ini menyakitkan, namun ia ada tak boleh disangkal kerana rakyat bercakap kerana ada contoh.

Contoh ini datang dari apa yang mereka lihat dalam kalangan parti atau calon pemimpin yang banyak wang. 

Poster, bendera, papan iklan dan pelbagai lagi bahan kempen memenuhi segenap penjuru kawasan.

Jika kawasan Barisan Nasional, satu kawasan akan menjadi biru. Jika Pakatan Harapan, satu kawasan akan merah.

Begitulah bagaimana contoh-contoh ini membina persepsi dalam kalangan rakyat. 

Kemampuan menyediakan bahan kempen yang banyak, tidak terhad kepada poster dan lain-lain, sebaliknya ia disulam dengan kempen pemberian wang atau barangan kepada pengundi samada secara langsung atau tidak. 

Benarkah rasuah menjamin kemenangan?

Sekalipun jumlah bahan kempen bukan jaminan untuk parti atau calon menang dalam sesuatu pemilihan, namun ia cukup untuk mewujudkan lantai pertandingan yang senget atau berat sebelah kepada parti-parti lain.

Bagi parti-parti kecil yang tidak mempunyai dana sebesar parti pemerintah atau parti yang memang besar, mereka akan tenggelam dalam persaingan kempen.

Parti kecil dan miskin ini tak mampu menarik pengundi ke pentas ceramah kerana tiada cabutan bertuah atau tiada artis persembahan.

Dalam isu ini saya tidak menyalahkan parti-parti kaya, namun Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menjadi badan berkuasa bagi urusan pilihan raya untuk menjalankan proses demokrasi dengan bersih dan adil, harus menyediakan lantai pertandingan yang adil dan sama rata kepada semua parti yang terlibat.

Sudah sampai masanya badan seperti SPR melihat kembali masalah ini secara lebih mendalam kesannya kepada sistem politik secara keseluruhan.

Kesan kepada negara

Jika kita bercakap tentang reformasi pilihan raya, beberapa usaha sedang dibuat seperti RUU Akta Dana Pembiayaan Politik. Usaha-usaha seperti ini harus dilihat dengan lebih mendalam dan merangkumi aspek kempen pilihan raya.

Jika perkara ini tidak diperhalusi dengan lebih mendalam, parti politik yang mempunyai akses kepada sumber kewangan, akan berbelanja habis-habisan hingga tidak ada had.

Punca kuasa kepada sumber wang akan terdedah kepada rompakan oleh mana-mana individu atau parti politik kerana perlu mempersiapkan parti mereka dengan sumber kewangan yang mencukupi.

“Mencukupi” ini subjektif, ia tidak terhad kepada sesuatu jumlah. Inilah yang berbahaya.

Hari ini kita mendengar ada parti yang menghabiskan ratusan juta malah mencecah berbillion hanya untuk berbelanja di pilihan raya.

Ini tidak terhad dalam pilihan raya, ia pasti akan melibatkan pemilihan didalam parti masing-masing. Ia satu kitaran korupsi yang tiada kesudahannya.

Jika aspek seperti bahan kempen pilihan raya tidak kawal atau dihadkan oleh pihak seperti SPR, kita akan melihat lebih banyak wang dibazirkan untuk kempen pilihan raya.

Sekalipun wang ini mungkin bukan kesemuanya wang rakyat (kerajaan), lalu dari mana wang ini datang? Maka pastilah wang ini datang daripada pendana yang kaya. 

Pendana ini menyumbang kerana ada hubungan politik. Dan hubungan politik ini, ada kosnya. Parti yang menang, harus menabur budi kepada pendana selepas itu, kitarannya begitu.

Jika sumber dana dan kos itu tidak terhad, maka kerja membalas budi kepada pendana ini juga – tidak terhad dan ini merbahaya kepada kepentingan rakyat dan negara.

Jika kitaran ini tidak dikawal, masalah lebih besar kepada sistem politik kita. Sesuatu perkara yang tiada had, pasti akan menemui kegagalan pada suatu masa. 

Dalam isu ini, yang akan gagal ialah “politik” kita kerana kita membiarkan perkara ini tanpa dikawal.

Mereka yang berkuasa atau mahu berkuasa, akan melakukan apa saja cara untuk memastikan sumber kekuatan wang ada pada mereka.

Hanya dengan sumber kewangan yang cukup maka peluang untuk menang lebih tinggi.

Jika kita semua lalai, rasuah akan terus berleluasa. Maka sebagai permulaan, mungkin SPR harus mengharamkan semua poster pilihan raya untuk parti-parti politik dalam mana-mana kempen pilihan raya. – 28 Januari 2023. 

* Mahdzir Ibrahim, timbalan ketua penerangan GTA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen