GAGASAN Sejahtera, gabungan politik antara PAS, Berjasa, dan Ikatan akan melancarkan manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) mereka pada 18 Mac depan, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim berkata, manifesto bertemakan “Malaysia Sejahtera” itu akan dilancarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam majlis syarahan perdana di Astana Banquet Hall, Cyberjaya.
Menurut Tuan Ibrahim, manifesto itu mengandungi sembilan teras utama sebagai dasarnya iaitu; pembentukan sebuah kerajaan yang berintegriti, beramanah, serta bebas korupsi; penambahan pendapatan boleh guna dan penjanaan peluang baru untuk rakyat; pemberdayaan rakyat untuk meredakan kesan inflasi dan kenaikan kos sara hidup; pengurangan jurang agihan pendapatan dan kekayaan ekonomi antara bandar dan luar bandar; peningkatan kualiti pendidikan ke arah pembinaan modal insan cemerlang; dan pengharmonian sistem perundangan dan tadbir urus negara selaras kehendak syariah.
Selain itu, manifesto itu turut memberikan penekananan kepada pengukuhan konsep federalisme dengan mengembalikan hak-hak tertentu kerajaan negeri; pemerkasaan suar rakyat selaras tuntutan syura dan demokrasi; dan penambahbaikan keberkesanan sistem sokongan sosial untuk golongan memerlukan.
Pengarah Penyelidikan PAS Pusat Dr Zuhdi Marzuki berkata, manifesto Gagasan Sejahtera juga berbeza daripada orientasi mereka dalam pilihan raya sebelum ini.
“Tawaran kita secara langsung pergi kepada sasaran, bukan segmen dan sektor. Itu polisi umum. Kita akan senaraikan sasaran tepat, nelayan, petani, graduan, apa tawaran kita untuk semua, tawaran kita langsung,” katanya, ketika sidang media di Pejabat Agung PAS hari ini.
Tambahnya, proses pembinaan manifesto itu juga mengambil kira pandangan setiap peringkat melalui media sosial dan pertemuan bersemuka dengan badan badan bukan kerajaan.
“Secara umumnya manifesto ini bukan citarasa kita tapi rakyat untuk kita bawa sekiranya diberi mandat tadbir negara,” katanya.
Turur hadir dalam sidang media itu adalah Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden PAS Idris Ahmad. – 12 Mac, 2018.
Komen