Bayi 3 bulan meninggal dunia di taska Selangor


SEORANG bayi lelaki berusia tiga bulan meninggal dunia ketika dalam jagaan pengasuhnya di sebuah taska di Bandar Baru Bangi, Selangor tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang Mohd Zaid Hassan berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian berkenaan daripada seorang jururawat hospital swasta di Bandar Baru Bangi pada jam 12.10 tengah hari tadi.

Beliau berkata pekerja taska itu membawa bayi berkenaan yang tidak sedarkan diri dan tidak memberi sebarang tindak balas terhadap rawatan kecemasan. Bayi itu kemudian disahkan meninggal dunia.

“Siasatan awal polis mendapati bayi itu dihantar oleh ibunya pada jam 7.15 pagi dalam keadaan sihat ke sebuah taska di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi. Pada kira-kira jam 10.30 pagi bayi berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri oleh pihak pengasuh.

“Pemeriksaan pada tubuh bayi itu tidak menemui sebarang kecederaan, mayat bayi itu kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Serdang untuk dibedah siasat.

Mohd Zaid berkata, semakan mendapati taska itu beroperasi sejak tahun 2014 dan mempunyai lesen yang sah dari Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian juga mendapati tiada sebarang unsur kekerasan yang berlaku, tetapi disyaki terdapat unsur kecuaian menyebabkan kematian bayi itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM20,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. – Bernama, 27 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen