PAS melihat tiada keperluan untuk parti itu melaksanakan baiah talak tiga buat calon mereka yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), kata Tuan Ibrahim Tuan Man.
Timbalan presiden PAS itu berkata, Majlis Syura parti itu juga belum menerima sebarang permintaan daripada PAS Kelantan untuk melaksanakan perkara itu.
“Kita jangan lihat baiah itu sendiri, kita lihat kesan baiah itu, kesannya adalah supaya calon PAS tidak khianat kepada rakyat dengan menjual kerusi selepas menang “Syura juga tidak menerima lagi permohonan daripada PAS Kelantan untuk melaksanakan baiah talak tiga ini.
“Baiah ini kita ambil prinsip umum. Apa tujuannya, supaya tak khianat kepada rakyat. Macam mana nak halang supaya kerusi yang dimenangi tak dijual. Apa mekanisme kita halang wakil rakyat mengkhianati parti,” katanya kepada pemberita pada sidang media di ibu pejabat parti Islam itu di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam sidang media itu, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan mengumumkan 70 peratus pembahagian kerusi Gagasan Sejahtera sudah dimuktamadkan.
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, baki 30 peratus kerusi belum dapat diselesaikan dengan mengambil kira faktor persempadanan semula.
“Semua negeri 70 peratus sudah selesai, baki 30 kerusi lagi dalam pengubahsuaian, terutamanya selepas Parlimen luluskan persempadanan semula kawasan Parlimen,” katanya kepada pemberita.
Tambahnya, untuk PRU14, PAS tetap komited untuk bertanding sekurang-kurangnya 130 kerusi. – 12 Mac, 2018.
Komen