PARAS air yang semakin meningkat membanjiri rumah dan jalan di seluruh bandar terbesar New Zealand pada Jumaat, lapor agensi akhbar Jerman (DPA).
Penduduk Auckland seramai kira-kira 1.6 juta orang diberi amaran oleh pertahanan awam supaya berlindung ketika hujan lebat melanda.
Institut Penyelidikan Air dan Atmosfera Kebangsaan (Niwa) memaklumkan sebahagian kawasan di Auckland menerima hampir 80% taburan hujan berbanding pada musim panas biasa.
Kumeu sebuah pinggir bandar di barat laut Auckland mencatat 79% taburan hujan dalam tempoh 15 jam dengan 166 milimeter hujan.
Albany di pantai utara bandar itu merekodkan 75% taburan hujan.
“Mungkin akan ada harinya, sebahagian Auckland akan dilanda hujan lebat yang bacaannya lebih tinggi daripada rekod sepanjang musim panas,” menurut Niwa.
Sementara itu, pihak bomba dan kecemasan berkata anggotanya menerima lebih 1,000 panggilan kecemasan daripada mangsa yang terjejas.
Konsert Elton John turut dibatalkan beberapa saat sebelum penyanyi itu memulakan persembahan, kata penganjur. – Bernama, 27 Januari, 2023.
Komen