SEBUAH mahkamah di Brescia semalam memerintahkan supaya membebaskan isteri dan anak perempuan bekas Ahli Parlimen Itali Antonio Panzeri daripada tahanan rumah selepas pihak berkuasa Belgium menggugurkan permohonan ekstradisi mereka, lapor ANSA.
Panzeri, dalang utama dalam skandal ‘Qatargate’ dan didakwa atas tuduhan melakukan rasuah bersama dengan rakan senegaranya Francesco Giorgi, pembantu MEP Parti Demokratik (PD), Andrea Cozzolino dan setiausaha agung NGO No Peace Without Justice, Niccolo Figa-Talamanca
Ahli Parlimen Greece Eva Kaili yang dipecat sebagai naib presiden Parlimen Eropah selepas pendedahan skandal itu turut didakwa dan kini sedang menjalani hukuman penjara sejak 9 Disember lalu.
Kaili merupakan pasangan kepada Giorgi.
Mahkamah memutuskan Giorgi dan Figa’-Talamanca harus kekal di penjara.
Sementara itu, Cozzolino memberitahu jawatankuasa keadilan Parlimen Eropah bahawa dia bersedia untuk melepaskan kekebalannya daripada pendakwaan.
Jawatankuasa itu bersedia untuk mengadakan undian pusingan pertama pada 31 Januari sama ada untuk membenarkan permohan pihak pendakwa supaya kekebalan Cozzolino dan MEP Belgium Marc Tarabella ditarik balik.
Cozzolino yang menafikan melakukan sebarang salah laku telah memberitahu jawatankuasa bahawa dia menjadi mangsa “kempen akhbar yang telah memusnahkan keluarga saya atas dasar syak wasangka”. – Bernama, 27 Januari, 2023.
Komen