PENGERUSI DAP Lim Guan Eng enggan mengambil peduli kenyataan pemimpin Perikatan Nasional Shahidan Kassim untuk mengambil alih Pulau Pinang dalam pilihan raya negeri akan datang.
Beliau berkata keyakinan ahli Parlimen Arau itu hanyalah angan-angan.
“Biarlah… jika beliau mahu (mengambil alih Pulau Pinang) biarkan beliau bersama impiannya,” Lim dipetik sebagai berkata dalam New Straits Times hari ini.
Pada Rabu, Shahidan dalam klip video di laman Facebooknya berkata PN mempunyai strategi untuk menawan Negeri Sembilan dan Selangor selain mempunyai keyakinan ia boleh ‘menawan’ Pulau Pinang.
Sebelum ini Presiden Gerakan Dominic Lau dalam temu bual dengan The Malaysian Insight berkata partinya - kini sebahagian daripada PN - percaya masanya sudah tiba untuk parti itu menjatuhkan DAP dan mengambil alih semula negeri itu.
Lau berkata walaupun parti itu gagal memenangi sebarang kerusi pada 2018 dan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) baru-baru ini, namun ia mempunyai “konsep, strategi dan bakat” untuk memerintah Pulau Pinang semula.
Gerakan mentadbir Pulau Pinang selama 39 tahun antara 1969 dan 2008. Sejak itu negeri itu berada di tangan PH setelah menjadi kubu kuat DAP.
Memberi maklum balas kepada Lau, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang ll P Ramasamy berkata harapan presiden Gerakan untuk kembali berpolitik di Pulau Pinang adalah lebih daripada halusinasi.
Sementara itu Lim juga dilaporkan berkata DAP tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan Barisan Nasional (BN) berhubung peruntukan kerusi pada pilihan raya negeri akan datang.
“Bagi perbincangan (pembahagian kerusi), kita tidak akan dedahkan. Saya rasa kita akan umumkan,” katanya. – 27 Januari, 2023.
Komen