MCA tidak sekat pertandingan dalam pemilihan parti, kata Wee


The Malaysian Insight

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata semua jawatan terbuka untuk dipertandingkan pada pemilihan parti tahun ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 27 Januari, 2023.

SEMUA jawatan dalam MCA termasuk presiden dan timbalan presiden, terbuka untuk ditandingi pada pemilihan parti September depan, kata presidennya Wee Ka Siong.

Wee berkata parti mengguna pakai sepenuhnya prinsip demokrasi dan tidak akan mengikut jejak sekutunya dalam Barisan Nasional (BN) iaitu Umno yang membuat keputusan tidak mempertandingkan dua jawatan tertinggi.

Umno pada perhimpunan agungnya baru-baru ini meluluskan usul untuk memastikan jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dicabar pada pemilihan parti kelak.

Wee yang juga ahli Parlimen Ayer Hitam menang jawatan presiden parti dalam pertandingan tiga penjuru pada pemilihan parti 2018.

Beliau berkata MCA mempertahankan nilai penting dalam demokrasi.

“MCA akan berpegang kepada nilai ini. pemilihan parti akan terbuka dan tidak terikat,” katanya kepada media pada temu bual khas pra Tahun Baru China.

“Jika demokrasi, kebebasan dan keadilan adalah nilai yang boleh kita ketepikan, makan parti ini tidak sepatutnya wujud.”

Wee berkata MCA menjadi penanda aras untuk parti lain di negara ini mengehadkan tempoh penggal presiden.

Perhimpunan agung MCA pada 2003 sebulat suara memutuskan untuk menetapkan sembilan tahun had untuk seseorang presiden parti memegang jawatan itu.

Ketika ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatan presiden, Wee berkata masih terlalu awal untuk bercakap tentang perkara itu.

“Saya masih ada masa untuk memikirkannya. Lebih pun, pencalonan untuk semua jawatan akan dibuka pada Ogos.”

Sementara itu, Wee berkata beliau masih bertanggungjawab menjalankan tugasnya bagi memastikan parti itu kembali kuat.

“Wee Jeck Seng (Tanjung Piai) dan saya saja ahli Parlimen dalam parti ini, maka tanggungjawab kami untuk mengukuhkan parti hinggalah pada pemilihan parti nanti.”

Wee berkata fokusnya adalah melatih pemimpin baharu untuk mengambil alih jawatan yang bakal dikosongkan oleh pemimpin tua.

“Pada masa ini kami ada kira-kira 12 pemimpin muda yang sedang dilatih dan bakal menggantikan kami,” katanya.

Faktor Najib

Berkenaan kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Wee berkata ia disebabkan kempen terbantut susulan bekas presiden Umno Najib Razak dipenjarakan selepas disabitkan bersalah dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata kempen maklumat BN menerusi pelbagai platform media sosial terjejas selepas Najib yang juga bekas perdana menteri diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuannya ditolak.

“Kita perlu akui perkara ini. pada Pilihan Raya Negeri Melaka dan Johor, mudah untuk kita sebarkan mesej kita menerusi empat juta pengikut di media sosial Najib.”

Pada PRU15, PKR yang mengetuai Pakatan Harapan (PH) menang 82 kerusi Parlimen menjadikan ia gabungan politik memenangi paling banyak kerusi.

Bersatu yang memimpin gabungan Perikatan Nasional (PN) menang 73 kerusi, BN (30), Gabungan Parti Sarawak (GPS) 23 dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) enam kerusi.

MCA yang sebahagian daripada BN, hanya menang dua kerusi. Ia tidak menerima jawatan menteri dalam Kabinet Perdana Menteri Anwar Ibrahim walaupun BN adalah sebahagian daripada kerajaan. – 27 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen