Jurutera JKR terima rasuah dihukum penjara sebulan, denda RM210,000


SEORANG jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) dihukum penjara sebulan dan didenda RM210,000 oleh Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah RM42,000 pada Disember 2013.

Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain turut mengarahkan Shaiful Azman Taha, 45, dipenjara 10 bulan bermula hari ini, sekiranya gagal membayar denda itu.

Shaiful Azman yang ketika itu berkhidmat sebagai pengarah Pusat Khidmat Kontraktor Kementerian Kerja Raya Pahang didakwa menerima suapan daripada juruteknik Syarikat NZH Murni Enterprise Hamdan Mat Hasan di rumahnya di Taman Pelindung Jaya, di Kuantan antara pukul 3 hingga 4 petang, 21 Disember 2013.

Suapan berbentuk wang tunai itu didakwa sebagai dorongan kepada tertuduh untuk mengeluarkan Sijil Kontraktor Kerja Taraf Bumiputera kepada syarikat tersebut.

Pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum menerusi Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pada 14 Februari 2018, tertuduh dihadapkan di mahkamah sama mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Terdahulu peguam Mohd Baharuddin Ahmad Kassim memohon hukuman ringan dikenakan atas alasan anak guamnya telah ditahan kerja dan berpendapatan RM2,500 sebulan menanggung keluarga serta dua anak yang masih bersekolah.

Mohd Baharuddin juga memaklumkan Shaiful Azman menghidapi masalah kemurungan serius dan akan kehilangan keistimewaan sebagai penjawat awam selepas 14 tahun berkhidmat.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Rifah Izzati Abdul Mutalif memohon mahkamah menjatuhkan hukuman dengan mengambil kira kepentingan awam selain tindakan tertuduh yang telah mencalarkan imej dan integriti penjawat awam. – Bernama, 26 Januari 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen