88.1% responden hargai usaha China lawan Covid-19


Sebanyak 86.8% responden di dunia mengiktiraf pencapaian China dalam usaha membendung wabak dan membangunkan sosioekonomi. – Gambar fail EPA, 26 Januari, 2023.

SEBANYAK 88.1% responden memberikan penilaian positif dan menghargai pencapaian China dalam usaha membendung Covid-19 dalam tempoh tiga tahun lalu.

Selain itu, 71.6% responden memberi pengiktirafan terhadap langkah pengubahsuaian dasar kawalan wabak di negara ini.

Demikian menurut tinjauan pendapat umum yang dijalankan bersama kumpulan pemikir Rangkaian Televisyen Global China (CGTN) dan Institut Tadbir Urus Negara dan Pendapat Awam Universiti Renmin China terhadap responden dari 21 negara termasuk Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman.

Dalam tempoh tiga tahun lalu, kerajaan China menegakkan konsep “keselamatan rakyat dan nyawa diutamakan”, mengoptimumkan langkah pencegahan dan kawalan wabak di samping melaksanakan pemvaksinan yang berskala terbesar di dunia, sehingga berjaya mengawal kadar kematian dan kes serius dengan berkesan.

Setakat ini, jumlah kematian akibat Covid-19 di seluruh dunia melebihi 6.63 juta, manakala kadar kematian dan jangkitan serius di China masing-masing berada pada paras yang paling rendah di dunia.

Berdepan penularan wabak dalam tempoh tiga tahun lalu, kadar pertumbuhan ekonomi di China menyaksikan peningkatan sebanyak 4.5% purata tahunan.

Lebih memberangsangkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China melebihi RMB120 trilion (RM75 trilion) pada 2022.

Dalam konteks ini, sebanyak 86.8% responden di dunia mengiktiraf pencapaian China dalam usaha membendung wabak dan membangunkan sosioekonomi.

Dalam pada itu, China menyediakan lebih 2.2 bilion dos vaksin Covid-19 kepada lebih 120 negara dan pertubuhan antarabangsa dan menyediakan sejumlah besar sut perlindungan, ventilator, pelitup muka dan bekalan lain kepada 153 negara dan 15 pertubuhan antarabangsa dalam tiga tahun lalu.

Menurut hasil tinjauan itu, lebih 85.2% responden memberikan penghargaan terhadap sumbangan China kepada usaha melawan wabak di seluruh dunia.

Bagaimanapun, beberapa media Barat mengkritik dasar pembendungan wabak di China, baik dasar ketat mahupun yang dilonggarkan.

Sebanyak 77.7% responden yang kebanyakan dari negara Barat menganggap laporan itu berunsur prejudis dari segi politik. – Bernama, 26 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen