Mahkamah Hak Asasi Eropah akan dengar kes terhadap Russia mengenai MH17


Seramai 298 penumpang dan anak kapal MH17 terkorban selepas pesawat itu ditembak jatuh di ruang udara Ukraine pada 17 Julai, 2014. – Gambar EPA, 26 Januari, 2023.

MAHKAMAH Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) di Strasbourg, Perancis memutuskan ia akan mendengar kes terhadap Russia berhubung dakwaan pencabulan hak asasi manusia di wilayah timur Ukraine dan kes pesawat MH17 yang ditembak jatuh.

Menurut kenyataan pendaftar mahkamah, ECHR semalam mengisytiharkan sebahagian kes yang dibawa oleh Ukraine dan Belanda boleh diterima.

Kerajaan Belanda memfailkan aduan mengenai pesawat Malaysia Airlines MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai, 2014 yang mengakibatkan kematian 298 orang termasuk 196 warga Belanda, menurut mahkamah.

Kerajaan Ukraine pula mengemukakan aduan mengenai pencabulan hak asasi manusia oleh puak pemisah di Republik Rakyat Donetsk (DPR) dan Republik Rakyat Lugansk (LPR) selain oleh anggota tentera Russia.

“Ia berpendapat terdapat bukti yang mencukupi untuk memenuhi beban pembuktian pada peringkat penerimaan amalan pentadbiran yang melanggar beberapa Artikel Konvensyen dan ia mengisytiharkan majoriti aduan oleh kerajaan Ukraine boleh diterima.

“Begitu juga, had bukti untuk tujuan kebolehterimaan dipenuhi membabitkan aduan kerajaan Belanda membabitkan pesawat MH17 yang ditembak jatuh juga diisytiharkan boleh diterima,” menurut kenyataan itu.

Mahkamah turut mendapati kawasan di timur Ukraine yang dikawal puak pemisah dari 11 Mei, 2014 sehingga sekurang-kurangnya 26 Januari, 2022 adalah di bawah bidang kuasa Persekutuan Russia.

Ia merujuk kepada kehadiran anggota tentera Russia di timur Ukraine mulai April 2014 dan penempatan besar-besaran tentera Russia selewat-lewatnya pada Ogos 2014.

“Mahkamah seterusnya mendapati responden mempunyai pengaruh yang signifikan terhadap strategi ketenteraan pemisah dengan membekalkan senjata dan peralatan ketenteraan lain kepada pemisah pada skala yang ketara sejak awal “DPR” dan “LPR” dan pada bulan dan tahun berikutnya, melakukan serangan artileri atas permintaan daripada pemisah serta memberikan sokongan politik dan ekonomi kepada pemisah,” menurut kenyataan itu.

Pemisah pro Russia berjuang untuk menubuhkan Republik Rakyat Donetsk dan Republik Rakyat Lugansk di timur Ukraine.

MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu Buk buatan Russia semasa terbang di wilayah konflik itu ketika dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur. – Bernama, 26 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen