PBB desak Taliban jelaskan peranan wanita dalam aktiviti bantuan


Tindakan Taliban melarang wanita Afghanistan bekerja dengan NGO, menyukarkan pengagihan bantuan. – Gambar EPA, 26 Januari, 2023.

DUA pemimpin kanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkata pada Rabu mereka mendesak Taliban untuk membatalkan sekatannya terhadap wanita Afghanistan, terutamanya larangan bekerja dalam penghantaran bantuan, dengan amaran mengenai ancaman kebuluran semasa musim sejuk.

Bercakap di New York, Timbalan Setiausaha Agung PBB Amina Mohammed berkata beliau “agak keras” mengenai isu wanita semasa lawatan minggu lalu ke Afghanistan dan kadangkala “reaksinya tidak menyenangkan.”

Sejak kembali berkuasa pada Ogos 2021, kerajaan Taliban mengenakan sekatan ketat kepada wanita dalam kehidupan awam termasuk pendidikan, kerja di sektor awam serta taman.

Negara itu berdepan salah satu krisis kemanusiaan terburuk di dunia, kata agensi bantuan, dengan lebih separuh daripada 38 juta penduduk Afghanistan berdepan kelaparan dan hampir 4 juta kanak-kanak mengalami kekurangan zat makanan.

Krisis itu bertambah buruk apabila kepimpinan Taliban melarang wanita Afghanistan bekerja dengan NGO, memaksa beberapa agensi bantuan menangguhkan kerja penting mereka.

Beberapa minggu kebelakangan ini, pihak berkuasa membenarkan wanita bekerja dalam sektor kesihatan sahaja.

Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Bantuan Kecemasan, Martin Griffiths, berkata beliau berharap lebih banyak sektor kemanusiaan akan dibuka semula untuk pekerja wanita.

“Saya diberitahu oleh beberapa pemimpin Taliban, pihak pentadbiran sedang mengusahakan garis panduan yang akan memberikan lebih kejelasan tentang peranan dan kemungkinan dan diharapkan kebebasan wanita untuk bekerja dalam aktiviti kemanusiaan,” kata Griffiths kepada AFP dalam temu bual di pejabat PBB di Kabul.

“Kita mengharapkan kemungkinan wanita diberi kebebasan untuk melakukan kerja kemanusiaan.

“Saya berpendapat adalah sangat penting untuk kita memastikan usaha ini berjaya,” kata Griffiths kepada AFP dalam temu bual di pejabat PBB di Kabul, katanya, ketika mengakhiri lawatan ke Afghanistan.

Griffiths mengetuai delegasi pegawai kanan NGO untuk bertemu beberapa pemimpin Taliban minggu ini dalam usaha mendesak mereka melonggarkan larangan ke atas pekerja kemanusiaan wanita.

Delegasi Griffiths tiba di negara itu beberapa hari selepas Mohammed menamatkan lawatannya di Kandahar, di mana beliau menggesa kerajaan Taliban untuk membatalkan dua perintah baru-baru ini yang menyekat hak wanita.

Griffiths berikrar apabila PBB datang untuk menyampaikan bantuan di negara yang dilanda kemiskinan, komuniti kemanusiaan global akan berkeras untuk mengerahkan pekerja wanita kerana lebih bertanggungjawab dan boleh diharap.

“Di mana pun ada peluang untuk kami menyampaikan bantuan kemanusiaan dan perlindungan secara berprinsip dengan wanita, kami akan berbuat demikian.

“Kami tidak mempunyai masa. Musim sejuk sedang melanda, orang yang mati akibat kebuluran semakin ramai.

“Kami memerlukan keputusan sekarang, itulah sebabnya saya fikir pengecualian wanita perlu dipertimbangkan semula,” katanya sambil menambah pengecualian pekerja wanita menjadi isu penting. – AFP, 26 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen