Jurutera China dipenjara 8 tahun di AS kerana mengintip


SEORANG jurutera China dijatuhi hukuman lapan tahun di penjara AS pada Rabu kerana memberikan Beijing maklumat mengenai kemungkinan sasaran rekrut.

Ji Chaoqun, yang datang ke AS dengan visa pelajar pada 2013 dan kemudiannya disenaraikan dalam simpanan tentera, dituduh mengenal pasti saintis dan jurutera Amerika yang boleh direkrut oleh Kementerian Keselamatan Negara Wilayah Jiangsu.

Badan itu adalah unit perisikan utama China yang terlibat dalam pelbagai skim untuk mendapatkan rahsia perindustrian dan perdagangan AS secara haram.

Ji telah ditangkap pada September 2018 atas tuduhan membekalkan risikan China dengan maklumat biografi tentang lapan orang, kesemuanya warganegara Amerika yang berasal dari China atau Taiwan, dan sebahagian daripadanya adalah kontraktor pertahanan AS.

Ji, 31, disabitkan pada September kerana bertindak secara haram sebagai ejen kerajaan asing dan membuat kenyataan palsu selepas perbicaraan selama dua minggu di Chicago.

Pertuduhan itu sering digunakan oleh pendakwa raya AS dalam kes berkaitan pengintipan yang mana tertuduh tidak jelas merupakan ejen perisikan asing.

Menurut Jabatan Kehakiman, Ji bertindak atas arahan Xu Yanjun, timbalan pengarah bahagian dalam unit Jiangsu.

Kes Ji dikaitkan dengan usaha China selama beberapa tahun untuk mencuri rahsia perdagangan daripada GE Aviation yang berpangkalan di Ohio—salah satu pengeluar enjin pesawat terkemuka dunia—dan syarikat penerbangan lain, termasuk pembekal tentera AS.

Xu adalah dalang utama dalam usaha itu. Ditangkap di Belgium pada 2018, dia diekstradisi ke Amerika Syarikat untuk dibicarakan.

Dia disabitkan pada November 2021 kerana pengintipan ekonomi dan cubaan mencuri rahsia perdagangan.

Pada November 2022 Xu dijatuhi hukuman penjara 20 tahun. – AFP, 26 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen