INFLASI teras Singapura berada pada 5.1% bagi asas tahun ke tahun (y-o-y) pada Disember, tidak berubah dari November, menurut Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) dan Kementerian Perdagangan dan Industri (MTI) republik itu.
“Ini kerana kenaikan harga yang lebih kecil untuk runcit dan barangan lain serta elektrik dan gas yang diimbangi oleh inflasi yang lebih tinggi untuk makanan dan perkhidmatan,” kata MAS dan kementerian dalam satu kenyataan bersama hari ini.
Sementara itu, inflasi Semua Barang Indeks Harga Pengguna (IHP) menurun kepada 6.5% tahun ke tahun pada Disember, berbanding daripada 6.7% pada November.
“Ini disebabkan terutamanya oleh inflasi pengangkutan swasta yang lebih perlahan,” kata kenyataan itu.
Pada asas bulanan, IHP teras meningkat 0.6% manakala Semua Barang IHP naik 0.2%.
Bagi keseluruhan 2022, Inflasi Teras MAS secara purata pada 4.1%, lebih tinggi daripada 0.9% yang dicatatkan pada 2021.
Dalam tempoh yang sama, inflasi Semua Barang IHP naik 6.1%, meningkat daripada 2.3% pada 2021.
Mengenai prospek, kenyataan itu berkata keadaan permintaan dalam ekonomi utama berkurangan manakala masalah rantaian bekalan juga turut terus berkurangan.
“Harga tenaga dan komoditi makanan memuncak pada awal 2022 tetapi kekal tinggi. Di samping itu, pasaran buruh dalam ekonomi maju utama masih bermasalah, mengekalkan tekanan yang kuat pada gaji,” katanya.
Secara keseluruhannya, kenyataan itu berkata apabila kos terkumpul melalui rantaian nilai global, inflasi import Singapura dijangka kekal kukuh untuk beberapa waktu. – Bernama, 25 Januari, 2023.
Komen