Stesen minyak Itali lancar mogok 


Pengedar petrol dan diesel di Itali melancarkan mogok bagi membantah peraturan paparan harga bahan api.– Gambar Facebook, 25 Januari, 2023.

USAHA terakhir untuk mengelak mogok nasional dalam kalangan pengedar petrol dan diesel pada Selasa gagal apabila hampir tiga perempat daripada 21,000 stesen minyak Itali berhenti beroperasi pada 7 malam.

Mogok untuk membantah peraturan bagi paparan harga baharu yang dilaksanakan di tengah-tengah kenaikan harga bahan api, yang pada asalnya dijadual berlangsung selama 60 jam.

Peraturan tersebut memerlukan pengedar menyiarkan pecahan penuh harga mereka bersama senarai purata harga nasional. Langkah itu bertujuan meningkatkan ketelusan mengenai harga dan mengurangkan spekulasi harga, lapor Xinhua.

Pengedar bagaimanapun berkata peraturan baharu itu meletakkan mereka sebagai entiti yang bertanggungjawab terhadap kenaikan harga baru-baru ini apabila yuran mereka berjumlah sekitar 2 peratus daripada harga dicajkan kepada pengguna.

Semasa lawatan ke Algeria pada Isnin bertujuan mendapatkan sumber bahan api baharu bagi menggantikan import dari Rusia, Perdana Menteri Itali Giorgia Meloni berkata peraturan baharu itu tidak bertujuan untuk memalukan pengendali stesen minyak.

Selepas berunding dengan pegawai kerajaan minggu lepas, mogok itu dibatalkan seketika dan kemudian dijadualkan semula dengan tempoh yang dipendekkan selama 48 jam.

Pada Selasa, FAIB, salah satu daripada tiga kesatuan sekerja utama yang menganjurkan mogok itu bersetuju membenarkan ahlinya memulakan operasi semula selepas hanya 24 jam.

Namun tindakan itu menyebabkan berjuta-juta pemandu Itali tidak dapat mengisi tangki kenderaan masing-masing sehingga lewat Khamis. – Bernama, 25 Januari, 2023.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen