Chris Hipkins PM baharu New Zealand 


Chris Hipkins, 44, mengangkat sumpah jawatan perdana menteri dalam satu majlis yang diadakan di Wellington, New Zealand.– Gambar Facebook, 25 Januari, 2023.

JAWATAN perdana menteri New Zealand telah digantikan selepas Jacinda Ardern mengumumkan peletakan jawatannya minggu lalu.

Perdana menteri baharu Chris Hipkins, 44, mengangkat sumpah jawatan itu dalam satu majlis yang diadakan di Wellington.

“Ini adalah keistimewaan dan tanggungjawab terbesar dalam hidup saya,” kata Hipkins selepas memegang jawatan secara rasmi.

“Saya bertenaga dan teruja dengan cabaran yang akan datang.”

Ardern minggu lalu berkata, beliau sudah penat selepas menerajui negara menghadapi bencana alam, serangan pengganas dan pandemik Covid-19.

Beliau membuat penampilan terakhirnya sebagai perdana menteri awal Rabu, berjalan keluar dari bangunan parlimen Beehive ketika ratusan penonton bertepuk tangan secara spontan.

Putera William adalah antara orang pertama yang mengucapkan tahniah kepada Ardern, yang menjadi tokoh global politik progresif selama lima tahun memegang jawatan itu.

“Terima kasih Jacinda Ardern atas persahabatan, kepimpinan dan sokongan anda selama ini, tidak terkecuali pada masa kematian nenek saya,” tulisnya di akaun Twitter rasminya.

Penyanyi rakyat Yusuf Islam atau terkenal dengan nama Cat Stevens, yang terlibat dalam konsert mengenang 51 orang yang terbunuh semasa pembunuhan beramai-ramai di masjid Christchurch 2019, turut memuji Ardern.

Yusuf menerusi Twitter berkata Ardern “menyatukan rakyat New Zealand berikutan serangan pengganas di Christchurch”.

Ardern pertama kali dipilih sebagai perdana menteri pada 2017, sebelum terus mara dengan gelombang “Jacindamania” untuk memastikan penggal kedua dengan kemenangan besar pada 2020. – AFP, 25 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen