AGENSI Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Untuk Pelarian Palestin (URNWA) semalam merayu dana sebanyak $1.6 bilion dan menyeru negara Arab terutamanya untuk menunjukkan lebih solidariti.
UNRWA yang menyediakan perkhidmatan kepada hampir enam juta rakyat Palestin yang berdaftar di wilayah Palestin termasuk Baitulmaqdis timur yang diilhamkan oleh Israel serta di Jordan, Lubnan dan Syria memberi amaran “cabaran yang bertambah” meletakkan mereka di bawah “tekanan yang besar”.
Agensi itu yang mempunyai hampir 30,000 kakitangan yang kebanyakannya pelarian Palestin menubuhkan lebih 700 sekolah yang menawarkan pendidikan kepada setengah juta kanak-kanak dan menyediakan perkhidmatan kesihatan, sanitasi dan sosial termasuk bantuan makanan dan wang tunai.
Daripada $1.6 bilion yang diminta, UNRWA berkata $848 juta diperlukan untuk perkhidmatan teras tersebut.
Ia berkata $781.6 juta lagi diperlukan untuk operasi kecemasan.
UNRWA memberi amaran keperluan semakin meningkat apabila krisis global, inflasi dan gangguan dalam rantaian bekalan global menyumbang kepada peningkatan kadar kemiskinan dan pengangguran dalam kalangan rakyat Palestin.
Tetapi di sebalik keperluan yang semakin meningkat, bajet dan jumlah yang dirayu tidak berubah selama tiga tahun, di tengah-tengah keengganan penderma untuk menaikkan jumlah dana.
Ketua Pesuruhjaya UNRWA Philippe Lazzarini membuat rayuan itu pada pertemuan dengan penderma di Geneva menjelaskan apa yang diminta oleh agensi itu benar-benar minimum yang diperlukan.
“Kita boleh minta dua kali ganda tetapi sumber sejak 10 tahun lalu sudah tersekat,” katanya kepada AFP.
UNRWA sudah lama berdepan kekurangan peruntukan yang kronik dan bertambah buruk secara mendadak pada 2018 apabila bekas presiden AS Donald Trump menamatkan sokongan kepada agensi itu. – AFP, 23 Januari, 2023.
Komen