PM adakan pertemuan dengan rakyat Malaysia di Brunei


Perdana Menteri Anwar Ibrahim bergambar dengan rakyat Malaysia di Brunei selepas majlis makan malam di Bandar Seri Begawan malam ini. – Gambar Facebook Anwar Ibrahim, 24 Januari, 2023.

PERDANA Menteri Anwar Ibrahim yang dalam rangka lawatan rasmi selama dua hari ke Brunei, mengadakan pertemuan dengan rakyat Malaysia dalam satu majlis makan malam di Bandar Seri Begawan.

Pada majlis yang diadakan di Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Brunei, Anwar turut menyampaikan amanat beliau selain berdialog dengan hadirin.

Dalam amanat beliau kepada lebih 400 orang hadirin, Anwar yang mengangkat sumpah sebagai perdana menteri yang baharu November lalu, memberi penerangan mengenai perancangan beliau untuk Malaysia.

Ia termasuk konsep ‘Malaysia Madani’ yang beliau perkenalkan pada 19 Januari sebagai usaha mengemudi serta mengangkat semula martabat dan kegemilangan negara di persada dunia.

Anwar berkata, beliau juga tidak mahu kerajaan yang beliau pimpin hanya melaung-laungkan slogan tanpa sebarang penghayatan.

“Saya nak mulakan transisi baharu. Tak nak slogan sahaja. Kita mahukan penghayatan dan amalan. Juga kebenaran, keadilan dan perpaduan. Rakyat Malaysia dah sinis dan muak dengan slogan dan janji-janji sahaja,” katanya.

Katanya tumpuan masa kini adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi dengan keutamaan di negeri-negeri dengan melihat kepada sektor ekonomi baharu.

Pada sesi dialog pula, Anwar turut menjelaskan secara amnya beliau akan meneruskan dasar baik yang dilaksanakan kerajaan terdahulu walaupun didukung oleh parti yang beliau tidak bersetuju, namun akan membuat kajian dalam hal membabitkan kontrak besar.

Menyentuh mengenai kerjasama dengan Brunei, Anwar berkata Malaysia boleh bekerjasama dengan negara itu dalam banyak bidang.

Hadir sama isteri beliau Dr Wan Azizah Wan Ismail, Premier Sarawak Abang Johari Openg, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Menteri Luar Zambry Abdul Kadir, Timbalan Premier Sarawak Awang Tengah Ali Hasan, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Amran Mohamed Zin dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Brunei Raja Reza Raja Zaib Shah.

Esok, perdana menteri dijadualkan menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman, dan kedua-dua pemimpin kemudiannya akan mengadakan pertemuan empat mata.

Kedua-dua pemimpin dijangka mengambil peluang untuk menilai kemajuan kerjasama yang sedang berjalan, di samping mengukuhkan lagi hubungan dan kerjasama yang akan memberi manfaat kepada kedua-dua negara, selain meneroka kerjasama baharu dalam bidang yang membabitkan kepentingan bersama.

Perdana menteri dan Sultan Brunei juga akan menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan Agensi Pelaburan Brunei (BIA). – Bernama, 24 Januari, 2023.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen