MCA tak pernah khianati BN, kata Ka Siong


The Malaysian Insight

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata tindakan parti itu dilakukan mengikut peraturan dan perlembagaan BN. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2023.

MCA mengkritik tingkah laku Umno dan presidennya Ahmad Zahid Hamidi dalam mencari kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tetapi menafikan dakwaan parti Cina itu mengkhianati aspirasi Barisan Nasional (BN) menerusi kritikannya.

Presiden MCA Wee Ka Siong, dalam temu bual khas baru-baru ini, berkata tindakan parti itu dilakukan mengikut peraturan dan perlembagaan BN dan resolusinya untuk bekerjasama dengan pembangkang.

Wee berkata perkara yang sama tidak boleh diperkatakan mengenai Umno, parti utama dalam BN.

Beliau berkata Umno sebenarnya melupakan dua prinsip utama gabungan itu - rundingan dan konsensus - gabungan mana yang perlu disokong, Pakatan Harapan (PH) atau Perikatan Nasional (PN), apabila tiada satu pun mempunyai majoriti mudah yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau berkata Umno membuat semua keputusan untuk gabungan itu tanpa berunding dengan parti rakan kongsi.

“Mereka sibuk berhubung dan menjalin pakatan politik baharu. Kami (MCA) melihat perkembangan politik ini tetapi memutuskan untuk tidak campur tangan dan menghentikannya.

“Umno menemui rakan kongsi baharu (dalam PH yang menjadi musuh lama), dan kesetiaan parti ahli BN tiba-tiba dipersoalkan.”

Wee berkata MCA teguh dalam kesetiaannya kepada BN dan dalam mana-mana pilihan raya akan datang, “kami, sebagai parti BN, akan tetap menggunakan logo BN”.

“Kami tidak pernah mengkhianati gabungan ini,” kata Wee ketika menjawab soalan mengenai pendedahan Zahid pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini yang mana beliau menamakan 10 ahli Parlimen – enam daripada Umno – yang menyokong Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menjadi perdana menteri tanpa persetujuannya.

MCA juga menggesa Zahid meletakkan jawatan sebagai pengerusi BN berikutan prestasi buruk gabungan itu dalam PRU15.

Sepuluh ahli Parlimen BN pada 23 November tahun lalu - lima hari selepas PRU15 - bertemu Muhyiddin dan pemimpin utama PN di Hotel St Regis, Kuala Lumpur mengenai pembentukan kerajaan.

Wee Ka Siong mendakwa Umno membuat semua keputusan untuk Barisan Nasional tanpa berunding dengan parti rakan kongsi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 25 Januari, 2023.

Antara pemimpin Umno yang hadir pada mesyuarat itu timbalan presidennya Mohamad Hasan dan seorang naib presiden Ismail Sabri Yaakob. Namun Zahid tidak menghadirkan diri.

Zahid menggelar mesyuarat itu sebagai ‘Langkah St Regis’ dan berkata ia juga cubaan untuk memecat beliau sebagai pengerusi BN.

Kehadiran MCA dalam mesyuarat itu menimbulkan pertikaian, mempersoalkan sama ada pemimpin MCA berniat untuk mengkhianati gabungan itu.

Wee bertegas dalam pergolakan politik, MCA tidak pernah mengkhianati gabungan itu dan juga tidak menjadi kunci kepada sebarang penipuan politik.

Beliau berkata “ramai orang” merayu kepada MCA untuk membubarkan gabungan itu disebabkan tindakan Umno.

“Kami juga mahu Umno terus berpegang kepada semangat BN untuk mengadakan rundingan dalam kalangan parti komponen. Itulah semangat asal BN.

“Tiada satu parti yang berhak untuk bersuara hanya kerana ia mempunyai lebih banyak undi atau lebih banyak kerusi berbanding parti ahli lain. Kita (parti BN) semuanya sama rata.”

Memandangkan tiada gabungan politik memenangi majoriti mudah dalam PRU15 19 November lalu untuk membentuk kerajaan baharu, ia berakhir dengan Parlimen yang tergantung.

PH memenangi 82 kerusi, diikuti PN (74), BN (30), Gabungan Parti Sarawak (23), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3).

Walaupun kedua-dua parti di negeri Borneo - GPS dan GRS - memenangi 29 kerusi, BN memainkan peranan penting dalam pembentukan kerajaan perpaduan Anwar Ibrahim. – 25 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen