PEMAIN tengah pasukan bola sepak Turki, Arda Turan melangsungkan perkahwinan dengan teman wanitanya di Istanbul semalam, dengan Presiden Recep Tayyip Erdogan bertindak sebagai saksi, kata laporan.
Kehadiran Erdogan sebagai saksi perkahwinan Turan dan kekasihnya selama lebih dua tahun, Aslihan Dogan adalah tanda jelas keakraban bintang bola sepak itu dengan presiden.
Majlis kecil itu berlangsung di Cubuklu di Istanbul dan turut dihadiri isteri Erdogan, Emine, lapor akhbar Hurriyet di laman webnya, dengan sekeping gambar menunjukkan beberapa tetamu berprofil tinggi yang turut menghadirinya.
Turan sering menyuarakan sokongan kuat terhadap Erdogan dan menyertai perhimpunan untuk menyokongnya susulan cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016.
Beliau juga mendapat perhatian media Turki awal bulan ini apabila berkata tidak sesuai untuk mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran ketika Turki sedang “berperang”, merujuk kepada operasi ketenteraan di Syria menentang militan Kurdish.
Turan menyokong kuat operasi itu dan melakukan salutasi tentera kepada tentera selepas menjaringkan gol.
Turan, 31, menyertai Basaksehir pada Januari dalam perjanjian pinjaman selama dua tahun setengah daripada Barcelona.
Beliau menyertai Barcelona pada 2015 selepas empat musim bersama Atletico Madrid.
Basaksehir bangkit sejak dua musim terakhir untuk menyaingi pasukan Besiktas, Fenerbahce dan Galatasaray.
Sebelum ini dikenali sebagai Istanbul Buyuksehir Belediyesi Spor (IBB), kelab itu menukar namanya kepada Basaksehir pada 2014.
Basaksehir berada di tempat ketiga dalam liga Turki. – AFP, 12 Mac, 2018.
Komen