1,312 kemalangan hari keenam Op Selamat 19


Treler membawa muatan tong gas terbalik di tengah jalan di Bahau, Negeri Sembilan semalam. – Gambar Facebook Korporat JBPM, 24 Januari, 2023.

SEBANYAK 1,312 kemalangan direkod di seluruh negara pada hari keenam pelaksanaan Op Selamat 19 sempena Tahun Baharu Cina, semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman Mat Kasim Karim dalam kenyataan hari ini berkata kemalangan itu membabitkan 1,603 kenderaan.

Beliau berkata, berdasarkan statistik harian polis, kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 1,160 kes, diikuti pacuan empat roda (210), motosikal (184), lori (19), van (19), bas (5), teksi (4) dan masing-masing satu kes kemalangan basikal dan kenderaan polis.

Op Selamat 19 dilaksanakan selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Januari di seluruh negara.

Sementara itu, Mat Kasim berkata keadaan trafik yang mula sesak sejak petang ini dijangka berterusan hingga tengah malam dengan pertambahan kenderaan membabitkan laluan utama ke pusat bandar seperti Tol Gombak (Timur) dan Plaza Tol Sungai Besi (Selatan) susulan berakhirnya cuti perayaan Tahun Baharu Cina.

Jumlah kenderaan turut dilapor meningkat di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), Lebuhraya Pantai Timur 1 dan Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak, Lebuhraya PLUS Slim River, Lebuhraya PLUS Changkat Jering-Ipoh dan Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) Shah Alam-Sepang-Nilai.

“PDRM menasihatkan pengguna jalan raya tidak menggunakan lorong kecemasan kerana ia akan menyukarkan pasukan penyelamat melaksanakan tugas menyelamat sekiranya berlaku kejadian tidak diingini,” katanya. – Bernama, 24 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen