Polis tumpas sindiket pemerdagangan hidupan liar bernilai RM64 juta


Antara barangan berkait hidupan liar yang dirampas susulan operasi dijalankan Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar PDRM. – Gambar Facebook PDRM, 24 Januari, 2023.

LEBIH RM64 juta nilai barangan terdiri daripada hidupan liar dan lain-lain dirampas susulan operasi membanteras penyeludupan di seluruh negara tahun ini, kata setiausaha polis.

Noorsiah Mohd Saaduddin berkata Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar (WCB) di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman turut menahan 88 individu dalam 35 serbuan berasingan bermula 1 Januari hingga 20 Januari lepas.

“Dalam serbuan itu, kami menahan 73 individu tempatan dan 15 warga asing dengan jumlah rampasan keseluruhan bernilai RM64,771,607.65.

“Operasi itu dijalankan berdasarkan peruntukan undang-undang di bawah Akta Kastam 1967 dengan jumlah rampasan bernilai lebih RM4.2 juta, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (RM1.2 juta), Akta Bahan Letupan 1957 (RM7.7 juta), Akta Kawalan Bekalan 1961 (RM10 juta), Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952 (RM2.2 juta) dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan (RM5,200),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata polis melalui KDNKA akan terus bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan jenayah lain.

Kerjasama daripada orang ramai amat digalakkan bagi menyalurkan maklumat kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata WCB ditubuhkan untuk memberi lebih kekuatan dalam usaha mengekang aktiviti penyeludupan hidupan liar di negara ini.

Katanya, kerajaan telah meluluskan 50 perjawatan baharu itu dan ia diperoleh pada pertengahan Julai lepas.

“Kerajaan telah meluluskan 50 jawatan untuk biro itu bulan lepas. Kami berterima kasih kepada kerajaan untuk ini.

“Saya percaya dengan penubuhan unit WCB ini akan memberikan impak yang berkesan dalam usaha untuk memerangi jenayah yang berkaitan dengan hidupan liar khususnya pemburu haram dan mereka yang menjalankan perdagangan spesies yang dilindungi dan terancam,” katanya. – 24 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen