Helikopter terhempas di sungai New York, dua maut


Pasukan penyelamat bersedia melakukan pencarian di dalam sungai di Manhattan selepas sebuah helikopter terhempas, malam semalam. – Gambar AFP, 12 Mac, 2018.

SEKURANG-KURANGNYA dua maut semalam selepas sebuah helikopter terhempas ke dalam sungai East River di Manhattan, kata Pejabat Datuk Bandar Bill de Blasio.

“Datuk bandar baru dimaklumkan oleh polis dan bomba. Sekurang-kurangnya seorang terselamat, dua maut. Juruterbang masih di dalam air,” kata jurucakap Eric Phillips menerusi Twitter.

Polis New York mengesahkan kemalangan itu sebelum mengadakan sidang akhbar dijadualkan pagi ini tanpa memaklumkan jumlah kematian.

Stesen televisyen New York 1 yang memetik sumber polis berkata lima atau enam penumpang di dalam helikopter itu maut, dengan hanya juruterbang terselamat.

Helikopter berwarna merah milik kumpulan pelancongan Liberty, jatuh ke dalam sungai berhampiran kejiranan Upper East Side dan 90th Street, selepas jam 7 malam semalam pada hari yang cerah.

Punca kemalangan belum dapat dipastikan tetapi media tempatan melaporkan juruterbang menghantar isyarat menyebut tentang masalah enjin tidak lama sebelum terhempas. – AFP, 12 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen