Bank pusat Pakistan naikkan kadar faedah bagi kawal inflasi


Inflasi Pakistan meningkat kepada 24.5% pada Disember berbanding 23.8% pada November dan inflasi makanan kekal sebagai penyumbang utama. – Gambar EPA, 24 Januari, 2023.

BANK pusat Pakistan pada Isnin menaikkan kadar faedah sebanyak 100 mata asas (1%) kepada 17% untuk mengawal inflasi.

Menurut Bank Negara Pakistan (SBP) jawatankuasa dasar monetari (MPC) merasakan adalah penting untuk menambat jangkaan inflasi dan mencapai objektif kestabilan harga bagi menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan.

Inflasi teras yang tidak termasuk harga makanan segar dan tenaga berada dalam aliran meningkat sejak 10 bulan lalu, memetik kenyataan bank itu.

“Jawatankuasa itu menyatakan tekanan inflasi berterusan dan terus meningkat. Jika ini tidak dikawal ia boleh memberi kesan kepada jangkaan inflasi yang lebih tinggi dalam tempoh lebih lama daripada jangkaan,” menurut SBP.

Kali terakhir bank pusat itu menaikkan kadar faedahnya sebanyak 1% kepada 16% pada November lalu.

Inflasi Pakistan meningkat kepada 24.5% pada Disember berbanding 23.8% pada November.

“Peningkatan dalam inflasi makanan kekal sebagai penyumbang utama kepada kenaikan inflasi,” menurut bank pusat itu. – Bernama, 24 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen