Arab Saudi lantik 34 wanita sertai barisan kepimpinan masjid di Mekah, Madinah


Pelantikan itu untuk membangunkan lagi perkhidmatan yang disediakan buat pelawat yang mengunjungi masjid berkenaan.– Gambar EPA, 24 Januari, 2023

ARAB Saudi melantik 34 wanita untuk memegang jawatan dalam barisan kepimpinan di dua masjid suci di Mekah dan Madinah, lapor Anadolu.

Dalam satu kenyataan, Presiden Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid berkata pelantikan itu bertujuan untuk membangunkan lagi perkhidmatan yang disediakan buat pelawat yang mengunjungi masjid berkenaan.

“Ia sebahagian daripada perubahan kualitatif yang sedang dilaksana oleh kerajaan untuk kaum wanita Arab Saudi yang mempunyai kelayakan,” menurut kenyataan itu.

Pada Ogos 2021, Arab Saudi melantik dua wanita sebagai pembantu kepada ketua Presiden Umum untuk Hal Ehwal Dua Masjid Suci.

Awal bulan ini, Arab Saudi mengumumkan pelantikan 32 wanita sebagai pemandu di bawah Program Pemimpin Kereta Api Ekspres Haramain.

Negara yang kaya dengan minyak itu mengambil beberapa langkah untuk memperkasakan wanita sejak beberapa tahun kebelakangan ini termasuk membenarkan wanita memandu dan mendaftar dalam perkhidmatan tentera. – Bernama, 23 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen