Lestarikan hala tuju sistem pendidikan negara


IBU bapa mempunyai  harapan yang berbeza terhadap hasil pembelajaran  anak-anak setelah melalui alam persekolahan

Mungkin sebahagian ibu bapa berharap anaknya memperolehi pencapaian cemerlang dalam peperiksaan dan seterusnya melanjutkan pendidikan sehingga peringkat tinggi dan akhirnya mendapat pekerjaan yang selesa.

Sebahagian ibu bapa lain pula berharap anaknya mempunyai ciri sahsiah dan akhlak yang terpuji dan tidak gusar jika  prestasi akademiknya rendah dibandingkan dengan rakannya.

Sebahagian ibu bapa lain pula berharap keseimbangan berlaku, anaknya cemerlang dalam bidang akademik dan pada masa yang sama, menonjolkan ciri-ciri unggul dalam akhlak dan peribadinya.

Hasil pendidikan seperti yang dihasratkan oleh  ibu bapa bergantung kepada hala tuju sistem pendidikan yang dilalui oleh anak-anak.  Dalam hubungan ini, hala tuju sistem pendidikan negara telah melalui beberapa fasa.

Pada tahun 50an, proses pendidikan pada umumnya adalah proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) berlandaskan kepada hafalan. Pencapaian pembelajaran diukur melalui peperiksaan awam. Gred diberikan berasaskan respons murid kepada soalan peperiksaan yang diberikan pada penghujung persekolahan.

Pendekatan pengajaran ketika itu  berasaskan kaedah latih tubi. Pencapaian murid diukur berdasarkan prestasi menjawab soalan peperiksaan dalam masa tertentu.

Kaedah pendekatan sistem persekolahan ketika itu berkait rapat dengan kemajuan  sosioekonomi negara. Negara memerlukan bilangan tenaga kerja yang cekap, mahir dan efisien dengan segera. Sistem pendidikan begini dapat memenuhi kehendak industri.

Pada tahun 60an, berikutan dengan reformasi pendidikan di seluruh dunia, para pendidik dan penggubal dasar pendidikan negara merasakan bahawa keupayaan murid menguasai kemahiran dengan cekap semata-mata tidak mencukupi.

Penekanan kepada kefahaman adalah penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Murid bukan sahaja perlu menguasai kemahiran, tetapi juga mesti memahami  apa yang dipelajari.

Ketika itu banyak perdebatan berlaku dalam kalangan para pendidik mengenai sama ada kefahaman perlu ditekankan dahulu diikuti dengan kemahiran ataupun sebaliknya kemahiran diperlukan untuk mencapai kefahaman. ‘Makna’ dalam pembelajaran mula diberi penekanan dalam proses PdP. Kebermaknaan pendidikan menjadi teras utama dalam PdP.

Pada era 80an pula, para pendidik mula prihatin terhadap peranan pendidikan dalam membentuk manusia. Dalam banyak hal, proses pendidikan telah banyak melahirkan para cerdik pandai dalam pelbagai bidang.

Namun terdapat juga pelajar cemerlang dalam persekolahan tetapi  tidak mempamerkan sikap atau ciri peribadi yang dihasratkan oleh sistem pendidikan kita.

Ketika itu Falsafah Pendidikan Kebangsaan mula disuratkan sebagai hala tuju proses pendidikan. Nilai murni mula diterapkan dalam proses PdP.

Tetapi kehendak sosioekonomi menyebabkan pencapaian prestasi pelajar masih merupakan fokus utama pendidikan. Penerapan nilai murni tidak mendapat peranan utama. Pencapaian lebih diutamakan dan kemenjadian atau pembinaan akhlak dan sahsiah hanya sebagai sampingan semata.

Untuk mendepani cabaran terkini, negara  memerlukan hala tuju pendidikan yang lebih konsisten dan lestari.

Pengalaman jelas menunjukkan bahawa hasil pembelajaran yang digariskan daripada pernyataan falsafah adalah lebih utama.

Negara sudah pasti tidak memerlukan rakyat yang bijak dan berketrampilan tetapi dalam masa yang sama mementingkan diri sendiri, menimbulkan gejala sosial, menyalahgunakan ilmu dan kuasa,  serta melakukan salah laku rasuah.

Sebaliknya kita memerlukan rakyat yang mempunyai sifat yang seimbang dan harmonis dari sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek. Sahsiah seperti ini adalah lebih utama, konsisten dan lestari seperti yang tertera dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Ini memberi implikasi bahawa kita harus memberi penekanan kepada kemenjadian murid sebagai teras utama pendidikan. Pendidikan negara harus ditalakan sebagai proses berterusan kemenjadian manusia  yang bermula di peringkat sekolah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) wajar membuat penilaian semula hala tuju pendidikan negara dengan menerapkan  Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan lebih mantap.

Usaha ini perlu bermula dengan mentakrifkan  “..insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…”. – 23 Januari, 2023.

* Dr Noor Azlan Ahmad Zanzali, Ahli Unit Penyelidikan dan Pembangunan Pendidikan Ikram Musleh

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen