KERAJAAN India menyekat siaran satu dokumentari penyiar BBC yang mendakwa Perdana Menteri India Narendra Modi berperanan dalam rusuhan kaum yang berlaku pada 2002 di wilayah Gujarat.
Laporan penyiar Sky News menyebut, sekatan itu dibuat mengikut undang-undang darurat selepas kerajaan India mengecam laporan BBC ke atas Modi.
Sekatan itu menyebabkan segala sedutan dan rakaman dokumentari berkenaan disekat di semua pelantar media di India.
Bahagian pertama dalam siri itu disiarkan di United Kingdom pada Selasa dan bahagian kedua akan disiarkan esok.
Laporan berkenaan dipertahankan BBC yang menyebut ia sebahagian dari komitmen penyiar tersebut untuk menonjolkan isu penting seluruh dunia.
Dalam satu kenyataan, BBC menyebut kerajaan India sudahpun ditawarkan untuk memberi ulasan berhubung isu berkenaan sebelum laporan disiarkan tetapi enggan berbuat demikian.
Laporan bahagian pertama menjejaki penyertaan Mod dalam politik dan kemaraannya dalam parti Bharatiya Janata Party (BJP) sehingga dilantik menjadi ketua menteri Gujarat.
Ia membangkitkan persoalan berhubung penglibatan Modi dalam rusuhan kaum dengan memetik sumber Pejabat Luar Negeri United Kingdom.
Isu tersebut berkait dengan rusuhan yang berkait dengan kebakaran satu kereta api yang mengorbankan puluhan nyawa.
Ekoran itu, lebih 1,000 orang kebanyakannya penganut Islam maut dalam keganasan yang dilaporkan antara paling buruk sejak republik itu mencapai kemerdekaan.
Laporan berkenaan mendakwa Modi “bertanggungjawab secara langsung” ke atas suasana yang membolehkan keganasan itu berlaku.
Tuduhan berkenaan dinafikan Mod sejak sekian lama dan satu keputusan mahkamah tinggi India pada 2013 turut mendapati tiada bukti yang memadai untuk mendakwa beliau. – 23 Januari, 2023.
Komen