BURKINA Faso meminta Perancis mengeluarkan tenteranya dalam tempoh sebulan, menurut satu surat diplomatik dikeluarkan pihak berkuasa kepada Paris dilihat AFP pada Ahad.
Presiden Emmanuel Macron pada Ahad berkata Paris sedang menanti penjelasan Burkina Faso.
Macron mendesak “sikap berhati-hati”, berkata ada “kekeliruan besar” terhadap kenyataan dilaporkan media dan pemimpin junta tentera Ibrahim Traore perlu mengeluarkan kenyataan awam.
“Kami sedang menanti penjelasan daripada Traore,” katanya kepada wartawan.
Surat dikeluarkan Kementerian Luar bertarikh Rabu lepas, menamatkan perjanjian 2018 yang membolehkan tentera Perancis ditempatkan di negara itu dan menetapkan sebulan untuknya keluar.
AFP memperolehi surat itu daripada sumber diplomatik Burkina, yang tidak dapat mengesahkan sama ada Perancis sudah mengakui menerima surat itu.
Mengulas kesahihan surat berkenaan, Pejabat Presiden Perancis berkata ia masih menunggu pengesahan pendirian Burkina pada “peringkat tertinggi”, mengulangi kenyataan Macron pada Ahad.
Agensi berita Burkina Faso melaporkan butiran permintaan dibuat pada Ahad itu, dan sumber rapat kerajaan mengesahkan perkara berkenaan kepada AFP.
Sumber itu menjelaskan yang ia “bukanlah penamatan sepenuhnya hubungan dengan Perancis. Tetapi pemberitahuan yang berkaitan perjanjian kerjasama ketenteraan.”
Perancis menempatkan 400 anggota tentera pasukan khas di Burkina bagi memerangi keganasan, tetapi hubungan itu tegang sejak beberapa bulan lepas.
Sejak rejim tentera merampas kuasa pada September, beberapa tunjuk perasaan mendesak pengusiran duta dan tentera Perancis di negara itu.
Ia dianggap petanda yang Burkina Faso, seperti negara jirannya Mali, beralih arah kepada Rusia sebagai rakan kerjasama.
“Rusia adalah pilihan muhasabah untuk dinamik ini,” kata Perdana Menteri Burkinabe Apollinaire Kyelem de Tembela minggu lepas susulan mesyuarat dengan duta Rusia.
“Kami merasakan kerjasama kami perlu diperkukuh,” tambahnya.
Kyelem de Tembela sudah melawat Moscow pada Disember lepas.
Burkina Faso berdepan kebangkitan pengganas yang bermula dari negara jirannya, Mali, pada 2015.
Traore merampas kuasa pada hujung September lalu, rampasan kedua berlaku di negara itu dalam tempoh hanya lapan bulan.
Perancis masih lagi dibayangi kekuruhan hubungannya dengan Mali, tenteranya dikeluarkan dari negara itu pada tahun lepas.
Jika tentera Perancis keluar dari Burkina, pilihannya sekarang adalah memindahkannya ke Niger, satu lagi negara di rantau berkenaan, yang kini sudah mempunyai hampir 2,000 tentera Perancis. – AFP, 23 Januari, 2023.
Komen