GANGGUAN bekalan tenaga besar-besaran di Pakistan pada Isnin telah menjejaskan lebih 220 juta penduduk negara itu, termasuk di Karachi dan Lahore.
Sistem pengagihan elektrik Pakistan merupakan antara yang rumit, dengan cuma satu masalah dalam satu bahagian grid sahaja boleh menyebabkan bekalan elektrik terganggu di merata tempat di seluruh negara.
Gangguan selama berjam-jam itu, yang kedua sejak dua tahun lalu, disebabkan oleh kerosakan pada grid nasional sekitar jam 7.30 pagi waktu tempatan.
“Menurut laporan awal, frekuensi sistem menurun pada grid nasional pada waktu pagi yang membawa kepada gangguan besar-besaran,” tweet kementerian tenaga.
Kerja pembaikan sedang dijalankan, dengan tenaga terhad dipulihkan di bahagian ibu kota dan bandar barat laut Peshawar.
Bandar pelabuhan Karachi, dengan penduduk lebih daripada 15 juta, dan Lahore, dengan populasi lebih daripada 10 juta, kekal tanpa bekalan tenaga.
Kerosakan serupa pada Januari 2021 telah menggelapkan seluruh negara berikutan masalah di selatan Pakistan yang menyebabkan sistem penghantaran negara itu terganggu.
Pakistan telah lama dilanda kekurangan tenaga kerana gabungan faktor termasuk ekonomi yang lemah, salah urus dan kekurangan kemudahan penyimpanan.
Hospital kebanyakannya bergantung kepada bekalan penjana simpanan manakala sekolah menggunakan gas untuk memanaskan bilik darjah mereka. – AFP, 23 Januari, 2023.
Komen