11 maut terbakar dalam kemalangan di Thailand


SEBELAS orang termasuk dua kanak-kanak mati terbakar dalam satu kemalangan jalan raya melibatkan sebuah van penumpang di tengah Thailand menjelang Tahun Baru Cina, kata polis pada Isnin.

Kemalangan jalan sering berlaku di negara yang mempunyai jumlah kes kemalangan yang tinggi itu, terutamanya pada musim cuti umum.

Van membawa 12 orang itu dalam perjalanan dari daerah Amnat Charoen ke Bangkok apabila ia terbabas di lebuh raya di Nakhon Ratchasima pada malam Sabtu, kata Kolonel Polis Yingyos Poldej.

Yingyos memberitahu AFP yang seorang lelaki selamat selepas keluar daripada tingkap, tetapi penumpang lain terperangkap dan maut dalam kebakaran.

Mangsa terselamat, Thanachit Kingkaew, seorang pelajar berusia 20 tahun, berkata dia sedang tidur apabila dikejutkan dengan jeritan penumpang lain.

“Saya bangun dan sedar van sudah terbalik. Saya tak nampak apa yang berlaku,” katanya.

“Selepas kemalangan, api mula merebak ke seluruh van bermula dari kawasan belakang penumpang.

“Saya mula menendang tingkap dan berjaya keluar menerusi sebuah lubang kecil,” katanya.

“Tidak lama selepas itu, van itu meletup.”

Nikhom Seaun, seorang sukarelawan bomba tempatan berkata van itu meletup sebaik sahaja api merebak.

“Ia mengambil masa kurang 30 saat sebelum api membakar keseluruhan van,” katanya.

“Saya tak dapat buat apa-apa walaupun ada pemadam api. Van itu meletup tiga hingga empat kali.”

Yingyos berkata van itu menggunakan minyak dan gas, tetapi laporan awal mendapati tangki gas tidak meletup.

“Kami rasa kebakaran berpunca daripada minyak,” katanya lagi, menambah yang siasatan awal masih dijalankan untuk mengenal pasti punca mengapa van itu terbabas. – AFP, 23 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen