PRESIDEN Ecuador Guillermo Lasso berkata pada Ahad rundingan untuk negaranya mencapai perjanjian perdagangan bebas dengan Mexico berada di “jalan buntu.”
Perjanjian sedemikian akan menjadi batu loncatan buat Ecuador untuk menyertai Perikatan Pasifik, sebuah blok perdagangan yang lebih luas.
Namun Presiden Mexico Andres Manuel Lopez Obrador “telah memberitahu saya pengeluar pisang dan udang di Mexico tidak mahu udang dan plaintain atau pisang dari Ecuador tiba di sana,” kata Lasso.
“Kami berada di jalan buntu.”
Ecuador memberi amaran pada Disember, “mustahil” untuk menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan Mexico melainkan perjanjian itu termasuk udang dan pisang, eksport utamanya selepas petroleum.
Lasso berkata kegagalan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan dengan Mexico “tidak begitu serius” sejak Ecuador telah meluaskan dan mempergiatkan perbincangan perdagangan di tempat lain.
Mexico merupakan salah satu ahli pengasas Perikatan Pasifik, yang turut merangkumi Chile, Colombia dan Peru.
Lasso berkata Ecuador memohon untuk menyertai Perikatan Pasifik “bagi mendapat akses pasaran Asia” tetapi “hari ini kami melakukannya secara langsung,” sambil menyatakan Ecuador dijangka menandatangani perjanjian perdagangan bebas dengan China tidak lama lagi.
Ecuador juga sedang meneruskan rundingan perdagangan dengan Korea Selatan, Kanada, Costa Rica dan Amerika Syarikat. – AFP, 23 Januari, 2023.
Komen