Rasuah pilihan raya: YB, rungkaikan yang tersurat dan tersirat


G Manimaran

Banyak petisyen yang difailkan pada masa lalu ada dikaitkan dengan rasuah, dikatakan diamalkan untuk membeli undi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Januari, 2023.

DALAM sesetengah kes, mahkamah khas yang dibentuk mengikut keperluan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, sudah mula mendengar petisyen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Di luar ruang bidang kuasa mahkamah pula sudah ada polemik – dibahaskan tentang rasuah, sogokan dan ganjaran yang didakwa untuk memikat undi pada 19 November lalu.

Pada 3 Januari, Badan Perhubungan Umno Terengganu memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu untuk membatalkan keputusan PRU15 bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Kemaman yang dimenangi PAS.

Dalam reaksinya, Jumaat lalu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang merangkap ahli Parlimen Marang, menyatakan pemberian wang tunai sewaktu kempen pilihan raya tempoh hari tidak menyalahi undang-undang kerana ia hanyalah sedekah kepada orang awam.

Kenyataan terbuka beliau itu dengan segera mencetuskan kontroversi, sekali gus ada pihak yang berpandangan bahawa wujud tafsiran baharu mengenai elemen yang selalu dipertikaikan ketika pilihan raya, termasuk pilihan raya kecil.

Sehubungan itu, Umno Terengganu diarahkan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan pemberian wang kepada pengundi sepanjang tempoh kempen PRU15.

Pada hemat Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan tindakan itu perlu dilakukan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai dakwaan tersebut.

Katanya, ketika kempen ada pihak yang memberikan RM150 untuk belia, RM300 untuk mahasiswi dan RM600 bagi golongan orang kurang upaya serta pesara dan pemberian berkenaan dipercayai dibuat beberapa hari sebelum pengundian.

Tidak dapat dinafikan perkara seumpama itu menjadi fokus ketika keputusan PRU15 sendiri menunjukkan kelainan dan keunikan tersendiri termasuk tiada parti atau gabungan yang memiliki majoriti mudah untuk membentuk kerajaan. Akhirnya kita disajikan dengan kerajaan perpaduan.

Semalam, Setiausaha Agung Perikatan Nasional Hamzah Zainudin mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh bagi menafikan dakwaan gabungan itu melakukan sogokan wang kepada pengundi semasa PRU15. Malah kenyataan itu turut dipertikaikan oleh Umno.

Dakwaan wujud amalan rasuah untuk membeli undi tidak dapat dielakkan. Banyak petisyen yang difailkan pada masa lalu ada dikaitkan dengan perbuatan rasuah, dikatakan diamalkan untuk membeli undi.

Salah satu petisyen pilihan raya yang berjaya susulan PRU14 adalah berkaitan dengan perbuatan membeli undi komuniti Orang Asli di bahagian pilihan raya Cameron Highlands. Petisyen itu berjaya dan membawa kepada pilihan raya kecil.

Akta Kesalahan Pilihan Raya dengan jelas ada menghuraikan mengenai kesalahan yang berkaitan dengan perbuatan jual beli undi, iaitu “menjual atau menawarkan untuk menjual mana-mana kertas undi kepada mana-mana orang atau membeli atau menawarkan untuk membeli mana-mana kertas undi daripada mana-mana orang”.

Bahagian III akta itu memperincikkan perbuatan rasuah daripada sudut kesalahan pilihan raya, iaitu penyamaran, penjamuan, pengaruh tidak wajar dan penyogokan. Aspek penyogokan pula mengkategorikan sembilan bentuk perbuatan yang boleh ditafsirkan sebagai melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya.

Peruntukan berkaitan dengan penyamuan (Seksyen 8) menyebut “tiap-tiap orang yang, secara rasuah, dengan sendiri atau melalui mana-mana orang lain, sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung memberikan atau mengadakan atau menyebabkan supaya diberikan atau diadakan, atau yang menyertai hal memberikan atau mengadakan itu, atau yang membayar atau mengaku janji akan membayar kesemuanya atau sebahagiannya, belanja bagi memberikan atau mengadakan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan, atau apa-apa wang atau tiket atau apa-apa cara atau tipu daya lain untuk membolehkan apa-apa makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan didapatkan, bagi atau untuk mana-mana orang bagi maksud untuk mempengaruhi secara rasuah orang itu atau mana-mana orang lain supaya memberikan atau tidak memberikan undinya dalam pilihan raya itu atau oleh sebab mana-mana orang itu atau mana-mana orang lain mengundi atau tidak mengundi atau akan mengundi atau tidak akan mengundi dalam pilihan raya itu, dan tiap-tiap pemilih atau pengundi yang, secara rasuah menerima atau mengambil apa-apa makanan, minuman, atau makanan atau minuman ringan atau bekalan itu atau mana-mana wang atau tiket itu atau yang menggunakan apa-apa cara atau tipu daya lain itu untuk membolehkan makanan, minuman, makanan atau minuman ringan atau bekalan itu didapatkan bersalah atas kesalahan menjamu.”

Skop peruntukan itu agak luas – liputan dan takrifan dalam menghadapi tempoh pilihan raya. Satu aspek yang menarik ialah ia menyebutkan tentang “sama ada sebelum, semasa atau selepas sesuatu pilihan raya, secara langsung atau tidak langsung”.

Agak luas tafsiran mengenai tempoh.

Pada hari ini pelbagai pihak memberikan pelbagai tafsiran, tanggapan dan kefahaman masing-masing mengenai peruntukan kesalahan daripada segi rasuah, sogokan dan imbuhan untuk mendapatkan sokongan pada hari pengundian.

Kita ada sebuah lagi dokumen undang-undang, iaitu Akta SPRM yang secara khusus memfokus kepada perbuatan rasuah. Peruntukan Seksyen 165 Kanun Keseksaan juga pernah digunakan untuk mengenakan tuduhan-tuduhan berkaitan dengan rasuah sebelum Akta SPRM digubal dan dikuatkuasakan.

Selain itu, juga ada undang-undang khusus berkaitan dengan penggubahan wang haram.

Bagaimanapun, lazimnya Akta Kesalahan Pilihan Raya hanya terpakai ketika tempoh pilihan raya. Dan, kebanyakan petisyen yang difailkan pula berkait rapat dengan tempoh berkempen, iaitu selepas penamaan calon sehinggalah hari mengundi.

Tindakan yang melanggar akta itu akan dibawa dalam bentuk petisyen. Jarang sekali perbuatan berunsur rasuah selepas keputusan diumumkan akan dibawa ke mahkamah.

Seksyen 19 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 juga menetapkan had maksimum perbelanjaan pilihan raya iaitu RM200,000 bagi kerusi Parlimen dan RM100,000 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN). Pada hari ini batasan yang diperuntukkan tidak diambil kisah dalam erti kata yang sebenar.

Ramai menganggap ia hanya sebagai satu formaliti, dan tiada impak besar dalam mengawal perbelanjaan pilihan raya. Ini kerana pada tanggapan mata kasar kebanyakan calon akan berbelanja lebih daripada had yang dibenarkan oleh undang-undang negara.

Tanggapan itu ada kebenarannya.

Ketika kos sara hidup semakin meningkat, yang turut menjadi perhatian ahli politik dalam memperjuangkan nasib rakyat terutama pengundi mereka, adakah had perbelanjaan semasa munasabah dan boleh diterima pakai secara praktikal?

Persoalan ini timbul dengan mengambil kira jumlah peruntukan kewangan yang diperlukan untuk menguruskan perbelanjaan pengurusan pilihan raya seseorang calon pada hari ini, ketika jumlah pengundi meningkat dengan banyak dan harga bahan mentah juga mengalami kenaikan dengan ketara, adalah besar.

Keadaan itu juga jelas ketika PRU15.

Mengikut kefahaman dan pemahaman peruntukan undang-undang semasa hanya merangkumi perbelanjaan yang dibuat oleh seseorang calon itu sendiri. Penyata perbelanjaan yang wajib dikemukakan kepada SPR tidak termasuk perbelanjaan pihak parti bagi setiap calon atau oleh pihak ketiga.

Sebahagian parti politik juga memperuntukkan sumbangan untutk menampung kos lain seperti mencetak kain rentang atau poster induk atau utama, dan menerbitkan manifesto parti, yang kemudiannya diagihkan kepada calon untuk digunakan sebagai bahan kempen.

Pada masa yang sama, pihak ketiga seperti rakan, kenalan, individu tertentu, syarikat atau badan tertentu juga terlibat dalam pembiayaan secara langsung dan secara tidak langsung bagi sesetengah calon.

Atau dalam erti kata lain, ada pihak yang sanggup berbelanja bagi melobi pengaruh jika calon atau parti mereka sokong memenangi pilihan raya. Bermakna pihak terbabit berbelanja bagi membina asas hubungan masa depan. Perbelanjaan mereka yang turut membantu dalam kempen pilihan raya tidak diambil kira.

Nampaknya ada kekurangan peruntukan undang-undang di sini.

Peruntukan dalam undang-undang pilihan raya semasa ada kekaburan dan kurang ketaringannya dalam mengawal perbuatan rasuah yang tidak termasuk dalam sempadan melarang perbuatan sedemikian rupa.

Sebelum ini pernah ada cadangan agar diadakan undang-undang khusus berkaitan dengan pembiayaan atau dana politik dan pilihan raya. Malah ia pernah ditimbulkan menjelang PRU15.

Pada 2015, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik ada mengemukakan cadangan khusus mengenai kerangka undang-undang itu kepada kerajaan. Kerajaan yang menubuhkan jawatankuasa itu.

Tiga tahun lalu, Jawatankuasa Khas Pembaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC), yang dibentuk oleh kerajaan, juga ada mengemukakan laporan 49 syor, termasuk berkaitan dengan dana pembiayaan politik dan pilihan raya.

Sekali lagi kekaburan mengenai sempadan dan kedalaman tafsiran digunakan untuk menjustifikasikan perbuatan rasuah semasa pilihan raya. Sebelum PRU15 ada parti dan pemimpin politik yang didakwa atas kesalahan rasuah mendakwa mereka menjadi mangsa kerana tiadanya kerangka perundangan yang jelas berkaitan dana politik.

Justeru, kini masa yang sesuai untuk negara memiliki undang-undang yang lebih jelas dalam membataskan apa jua perbuatan rasuah dan sogokan yang boleh mencatatkan prinsip pilihan raya demokrasi.

Begitu juga perbelanjaan membabitkan setiap calon, yang dilakukan secara langsung dan secara tidak langsung – oleh calon sendiri, parti politik atau pihak ketiga.

Ini penting bagi menyuburkan semangat pilihan raya demokrasi, sekali gus mewujudkan gelanggang persaingan yang bersih dan bebas daripada amalan rasuah, serta adil dan saksama.

Lepas itu kita tidak perlu lagi tuduh satu sama lain mengenai perkara yang menjadi polemik sejak saban tahun. – 23 Januari, 2023.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen