Bekas Adun Meru meninggal dunia pagi tadi


Bekas Adun Meru Dr Abd Rani Osman, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi tadi. – Gambar Facebook, 23 Januari, 2023.

BEKAS Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru Dr Abd Rani Osman meninggal dunia hari ini, selepas tidak sedarkan diri ketika beliau sedang bercuti bersama keluarganya di Pulau Carey, Kuala Langat awal pagi tadi.

Setiausaha PAS Selangor Roslan Shahir Mohd Shahir berkata Dr Abd Rani, 64, menghembuskan nafas terakhir ketika dalam perjalanan ke Hospital Banting dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi tadi.

“Solat jenazah sudah dilaksanakan di Hospital Banting, dan jenazah kemudiannya akan dibawa ke Masjid As-Syarif, Meru, Kapar, dekat sini untuk solat jenazah kali kedua. Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburun Islam Meru hari ini,” katanya ketika dihubungi Bernama pagi tadi.

Allahyarham Dr Abd Rani meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan 11 cucu.

Dr Abd Rani merupakan seorang doktor perubatan yang mendapat pendidikan di Mesir, sebelum menjadi Adun Meru mewakili PAS selama dua penggal bermula pada 2008 hingga 2018.

Allahyarham pernah menjawat jawatan Yang Dipertua PAS kawasan Kapar dan pesuruhjaya PAS Selangor 2011 hingga 2013, menggantikan Hassan Mohd Ali dan kemudiannya diganti oleh Iskandar Abd Samad.

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menerusi ciapan di Twitter turut mengucapkan takziah kepada keluarga dan sahabat Dr Abd Rani atas pemergian allahyarham pagi tadi. – Bernama, 23 Januari, 2023.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen